PPBM keluar Pakatan Harapan

PETALING JAYA: PPBM mengumumkan ia keluar daripada Pakatan Harapan, dalam kenyataan oleh presidennya, Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas semalam.

“Semua ahli Dewan Rakyat dari PPBM juga dengan ini keluar PH. Semua mereka menandatangani akuan bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara.

Semalam, Lembah Klang “sibuk” dengan cakap-cakap Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menubuhkan gabungan baru terdiri daripada Umno dan PAS.

Di Hotel Sheraton Petaling Jaya, pimpinan PPBM makan malam bersama PAS, Umno dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali serta penyokongnya. Pada petang hari sama, berpuluh kenderaan diiringi polis dilihat memasuki pekarangan Istana Negara pada 5.30 petang.

Anwar pada suatu majlis keagamaan di kediamannya berkata ada cubaan menjatuhkan kerajaan PH membabitkan ahli politik PPBM dan PKR “yang khianat”.