Selepas Dr M serah surat letak jawatan, bekas hakim jelas apa bakal menyusul

Dr Mahathir Mohamad bersama ahli Kabinet.

KUALA LUMPUR: Agong harus melantik seorang perdana menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat seperti yang ditetapkan Perlembagaan, kata hakim bersara, Gopal Sri Ram hari ini, beberapa jam selepas Dr Mahathir Mohamad menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Agong.

“Pelantikan itu atas budi bicara Agong dan tidak boleh dicabar di mahkamah,” tambahnya.

Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong hendaklah melantik sebagai perdana menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat.

Sri Ram berkata perdana menteri kemudian akan menubuhkan Kabinet untuk menjalankan pentadbirannya.

“Seelok-eloknya, perdana menteri ke Dewan Rakyat secepat mungkin dan mengadakan undi percaya.

“Jika beliau menang undi percaya, dia kekal berkhidmat bersama ahli Kabinetnya.”

Bagaimanapun, jika beliau kalah undi percaya, Sri Ram berkata perdana menteri akan menghadap Agong untuk melapor hasilnya.

“Perdana menteri boleh minta Agong membubarkan Dewan Rakyat untuk pilihan raya baru diadakan.

“Jika Agong tolak permintaan itu, perdana menteri terpaksa meletak jawatan untuk Agong melantik ahli Parlimen lain sebagai perdana menteri.”

Sekarang terdapat 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Peguam Bastian Pius Vendargon berkata sekarang tiada kerajaan kerana Kabinet tidak lagi wujud susulan peletakan jawatan Mahathir.

“Jawatan timbalan perdana menteri tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan. Oleh itu, beliau tidak boleh memangku peranan perdana menteri sementara,” katanya.