SPRM beri amaran kepada parti politik ketika penyokong Anwar berusaha raih sokongan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada parti politik tidak menggunakan kaedah rasuah bagi mendapatkan sokongan ahli Parlimen daripada blok berlainan untuk membentuk kerajaan baru.

“Mana-mana ahli Parlimen yang menawarkan, memberi atau menerima apa-apa bentuk suapan daripada mana-mana pihak mengikut kepentingan diri bagi sesuatu jawatan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki kepada Bernama hari ini.

Ini susulan dakwaan tawar-menawar sedang berlaku ketika parti politik berusaha mendapatkan majoriti dalam Dewan Rakyat, selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan berusia 20 bulan dan 11 ahli Parlimen PKR meninggalkan parti itu.

FMT juga difahamkan penyokong Anwar Ibrahim berusaha meningkatkan perang saraf untuk menunjukkan presiden PKR itu mempunyai sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen bagi meyakinkan Agong melantikannya sebagai perdana menteri.

“Ia adalah taktik lama ahli politik dalam permainan nombor,” kata seorang perunding politik di Pulau Pinang yang bekerja untuk pelbagai kumpulan lebih 2 dekad.

“Kami nampak itu berlaku pada 2008, apabila Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan BN. Selebihnya ialah sejarah.”

Terdahulu, FMT difahamkan ahli Parlimen PKR diarah mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Ada juga laporan ahli Parlimen DAP diminta menulis nama Anwar sebagai pilihan mereka untuk PM dalam borang yang diberikan ketika menghadap Agong hari ini.

Ini berbeza dengan kenyataan pemimpin PH, termasuk DAP dan Amanah yang mereka akan mencadangkan Mahathir untuk kembali dan memulihkan gabungan itu yang berpecah minggu ini susulan spekulasi penjajaran baru politik.

Ahli Parlimen lain termasuk dari PPBM, Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak, serta 11 ahli Parlimen yang bersekutu dengan Azmin Ali yang dipecat PKR, menyuarakan sokongan kepada Mahathir, walaupun BN berkata sokongan itu bersyarat ketika pemimpin veteran terbabit menerima ahli Parlimennya secara keseluruhan.

Seorang sumber yang rapat dengan PKR berkata, sokongan bersyarat Umno untuk Mahathir ialah berita baik buat Anwar dan cita-citanya menjadi perdana menteri, tiada cara bagi Umno yang mewakili blok Melayu terbesar dalam lanskap politik negara ini akan menerima DAP dalam kerajaan.

“Buat masa ini, Anwar dan DAP tidak boleh dipisahkan, dan tiada persoalan untuk beliau meninggalkan parti itu,” kata sumber itu.

Disebabkan tiada pilihan kecuali mendapatkan sokongan ahli Parlimen Umno, seorang sumber berkata, ada usaha untuk menarik mereka menyokong Anwar sebagai PM.

“Buat masa ini, PKR sudah mendapatkan sokongan 2 ahli Parlimen Umno, yang diketahui rapat dengan Anwar.

“Kedua-duanya sudah menandatangani akuan bersumpah. Setakat ini, Anwar mempunyai 92 akuan bersumpah yang memihak kepadanya.”

Tetapi, sumber itu berkata, ia adalah tugas sukar untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen Umno yang lain.