Ku Nan mengaku miliki hampir RM1 bilion aset

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu perbicaraan rasuahnya di Mahkamah Tinggi hari ini, beliau mengisytiharkan lebih RM900 juta aset miliknya kepada 3 bekas perdana menteri sejak menyertai kerajaan 19 tahun lalu.

Katanya, beliau mengisytiharkan aset berjumlah RM938,643,566.16 ketika mula menyertai Kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2001.

Pada 2006, beliau mengisytiharkan aset bernilai RM711,325,822 kepada Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi yang melantiknya sebagai menteri pelancongan.

Beliau kemudiannya mengisytiharkan RM691,770,649 dan RM782,748,061 aset dimiliknya kepada Najib Razak ketika menjadi menteri Wilayah Persekutuan pada 2013 serta 2016.

Ditanya peguamnya Tan Hock Chuan mengenai RM2 juta yang didakwa diterima daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong, Tengku Adnan berkata, ia adalah sumbangan politik yang dimintanya daripada Chai untuk Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016.

“Saya tahu wang itu akan datang, jadi saya dahulukan wang saya untuk pilihan raya kecil itu.

“Saya meminta beliau masukkan cek kepada Tadmansori Holdings kerana saya sering dahulukan wang saya kepada syarikat itu,” katanya sambil menafikan sebarang kaitan antara RM2 juta dan tugas rasminya.

Ketika diperiksa balas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim sama ada beliau percaya dakwaan ke atasnya tidak relevan, beliau tidak bersetuju.

Beliau kemudiannya kelihatan berang dengan berkata: “Sekarang mereka mahu mensensasikan (ini) selepas saya sebut (aset hampir) RM1 bilion.”

Tan kemudian meminta mahkamah berehat sebentar untuk meredakan keadaan.

Selepas prosiding disambung semula, beliau meminta perbicaraan dimulakan esok pagi. Permohonan itu diluluskan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa menerima RM2 juta daripada Chai yang juga pengarah Aset Kayamas, walaupun tahu syarikat lelaki itu mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan pimpinannya ketika itu.

Dalam pembelaannya, Tengku Adnan berkata, beliau tidak mendapat manfaat daripada wang itu yang dimasukkan ke akaun syarikatnya, Tadmansori Holdings pada 2016 kerana ia adalah sumbangan politik untuk 2 pilihan raya kecil itu.