Pendakwaan tarik balik tuduhan gagal isytihar aset terhadap Daim

Pendakwaan tarik balik tuduhan gagal isytihar aset terhadap Daim

Pihak pendakwaan menarik balik tuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 susulan kematian Daim Zainuddin.

Daim Zainuddi
Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin meninggal dunia pada 13 Nov lalu. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Kes pengisytiharan aset melibatkan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, ditamatkan susulan kematian beliau pada minggu lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Kami juga menyampaikan ucapan takziah,” kata Wan Shaharuddin.

Pada Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan oleh SPRM.

Beliau didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan dalam 38 syarikat, 19 lot tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur, serta enam hartanah lain.

Daim juga didakwa tidak mengisytiharkan pemilikan akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), serta tujuh kenderaan mewah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Dis 2023.

Hakim Azura Alwi kemudiannya mengeluarkan perintah Daim dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu. Beliau juga memanjangkan ucapan takziah mahkamah kepada keluarga Daim.

Terdahulu, peguam Daim Gurdial Singh Nijar memberitahu mahkamah, keluarga mahu tuduhan terhadap Daim diteruskan walaupun beliau sudah meninggal dunia.

“Beliau mahu membersihkan namanya daripada tuduhan tidak berasas ini,” katanya.

Gurdial berkata sekiranya pihak pendakwaan mahu tidak meneruskan tuduhan, ia perlu melepas dan membebaskan Daim.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin berkata tidak praktikal untuk meneruskan kes terhadap seseorang yang telah meninggal dunia.

“Siapa yang akan membayar denda dan menjalani hukuman (sekiranya didapati bersalah)?” katanya.

Sementara itu, mahkamah juga menetapkan 15 Jan ini untuk mendengar permohonan balu Daim, Naimah Khalid untuk merujuk persoalan terhadap pengisytiharan aset yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi untuk ditentukan.

Naimah dituduh mengisytiharkan pemilik di beberapa syarikat, beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang serta dua kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.