Pemimpin PPBM bagai dirasuk syaitan, Kadir ‘serang’ blok Muhyiddin

Wartawan veteran, A Kadir Jasin.

PETALING JAYA: A Kadir Jasin melancarkan serangan terhadap pemimpin PPBM yang sejajar dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengatakan mereka seolah-olah dirasuk syaitan ketika berdepan krisis politik yang akhirnya membawa kepada tumbangnya Pakatan Harapan.

Wartawan veteran itu berkata Majlis Tertinggi PPBM mengadakan mesyuarat pada 23 Feb, apa yang dipanggil “Langkah Sheraton” yang menyaksikan ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak yang berpecah berkumpul di hotel itu.

“Maaf cakaplah kalau saya kata, majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang bersidang pada Ahad 23 Feb, seolah-olah dirasuk syaitan bertubi-tubi mengasak Dr Mahathir supaya bersetuju dengan mereka untuk menarik PPBM keluar daripada PH dan menyertai Umno dan PAS,” katanya menerusi Facebook, menyerang semua orang dari blok Muhyiddin dan Setiausaha Politik Dr Mahathir Mohamad, Zahid Mat Arip sehinggalah pemimpin dan bekas ahli Umno yang menyertai PPBM.

Katanya, Zahid menghentak meja dan berkata buat kali pertamanya beliau menyokong Muhyiddin.

Pemimpin lain yang lantang bersuara dan tidak mempedulikan rayuan Mahathir ialah Ahli Majlis Tertinggi seperti Mohd Rafiq Naizamohideen, Redzuan Yusof dan Wan Saiful Wan Jan.

“Yang bercakap mempertahankan Dr Mahathir adalah minoriti dan terdiri daripada AMT yang tidak bercita-cita politik.

“Tapi ada juga yang hipokrit dan tikam belakang. Di depan Dr Mahathir sokong tapi sebenarnya mengkhianati beliau. Dalam hal ini saya, secara peribadi, amat kecewa dengan mainan Ahmad Faizal aka Peja,” katanya, merujuk Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Kadir berkata jelas asakan dan pengkhianatan terhadap Mahathir adalah konspirasi keluar PH dan bekerjasama dengan Umno sudah dirancang dengan teliti dalam jangka masa yang panjang oleh mereka dalam PPBM, Umno, PKR dan PAS.

“Ternyata Dr Mahathir juga dihampakan oleh watak-watak Umno yang beliau alu-alukan ke dalam PPBM seperti Hamzah Zainuddin dan Mustapha Mohamed. Nampak seolah-olah ada usaha mengambil alih PPBM oleh pendatang Umno ini,” katanya.

Ini, katanya, terbukti apabila Adun Umno dilantik sebagai Menteri Besar Johor, menggantikan Adun PPBM.

“Muhyiddin orang mulia. Tapi kalau ini bukan pengkhianatan, apa lagi?

“Sekali lagi Dr Mahathir dikhianati dan diderhakai oleh orang-orang yang dipercayainya.”

Isnin lalu, PPBM keluar daripada PH selepas Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri. Ini membawa kepada krisis yang akhirnya selesai selepas Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.