India tarik balik sekatan ke atas media sosial di Kashmir

Perkhidmatan internet digantung di seluruh Jammu dan Kashmir pada 5 Ogos lepas dalam usaha mengekang protes yang tercetus di wilayah yang menjadi pertikaian antara India dan Pakistan. (Gambar AP)

SRINAGAR: Selepas 7 bulan, kerajaan India pada Rabu menarik balik larangan ke atas media sosial di Jammu dan Kashmir, lapor agensi berita Anadolu.

Bagaimanapun, sekatan internet berkelajuan tinggi masih dikuat kuasa sehingga 17 Mac.

Menurut kerajaan, langkah berkenaan diambil selepas menilai keadaan keselamatan di negara yang majoritinya dihuni masyarakat beragama Islam itu.

“Orang ramai kini dibenarkan menggunakan perkhidmatan internet tanpa had dengan kelajuan 2G, bagaimanapun ia hanya terpakai kepada pelanggan pasca bayar.”

Berikuran larangan itu, ramai penduduk Kashmir menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) dan melindungi maklumat lokasi ketika melayari media sosial.

Selain itu, pihak kerajaan juga akan terus mengendalikan kios internet terpilih.

Perkhidmatan internet digantung di seluruh Jammu dan Kashmir pada 5 Ogos tahun lalu sebagai sebahagian usaha mengekang protes yang tercetus di wilayah yang menjadi pertikaian antara India dan Pakistan.