
Bilangan yang terjejas di negara ini semakin meningkat walau pun ia belum sampai ke tahap kritikal. Sehingga ini masih tidak ada tanda-tanda trend ini akan menurun meskipun banyak langkah diambil pihak berkuasa untuk mengekang penyebaran wabak ini.
Ancaman sebenar wabak Covid-19 terhadap negara tidak boleh dipandang ringan.
Kini diramalkan kesan terhadap ekonomi akan menjadi lebih serius di seluruh dunia. Badan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) meramalkan akan berlaku kelembapan yang mendadak dalam pertumbuhan ekonomi global.
Terdapat laporan ekonomi negara China mungkin akan merudum. Jika ini berlaku, ia akan menjadi kali pertama sejak Revolusi Kebudayaan pada 1970-an. China hari ini menyumbang hampir 1/5 daripada ekonomi global dan juga merupakan rakan dagangan utama Malaysia dan hampir semua negara di dunia.
Covid-19 kini merebak ke kebanyakan negara yang merupakan rakan dagangan Malaysia dan langkah kawalan ketat yang diambil oleh negara ini memberi kesan kepada perniagaan dan perdagangan antarabangsa. Jelas, dalam ekonomi global yang bersepadu, krisis Covid-19 akan memperlahankan pertumbuhan KDNK negara. Banyak perniagaan akan terjejas mengakibatkan berlakunya pengangguran secara besar-besaran dan industri pelancongan pula akan terjejas teruk.
Ramalan untuk ekonomi dunia nampaknya sangat mengerikan. Ini pasti akan memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara juga. Hasil bagi kerajaan akan terjejas teruk. Harga minyak mentah dunia akan menurun kerana kurang permintaan dari industri. Ekonomi Malaysia yang bergantung kepada hasil minyak juga sudah tentu akan terjejas.
Bagaimanapun, masih belum jelas ke tahap mana virus ini merebak dan apakah kesannya terhadap ekonomi global akan berterusan. Yang nyata sekarang, virus ini sudah pun memberi impak kepada perkembangan ekonomi dunia.
Walau apa pun, Yang lebih penting buat masa sekarang adalah negara harus bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kesan berpanjangan Covid-19 kepada ekonomi negara.
Yang pasti, negara tidak pernah menghadapi krisis kesihatan awam sejak merdeka pada skala yang ada sekarang. Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan melancarkan suatu mode operasi skala penuh bagi mengatasi ancaman ini dengan serta-merta.
Banyak negara lain telah pun mengumumkan pelbagai langkah menangani Covid-19. Di sesetengah negara, mereka mula memisahkan bandar utama dan tempat awam yang terjejas dengan wabak ini, menutup sekolah dan tempat awam, mengadakan pusat kuarantin serta membuat penyelidikan makmal untuk mencari penawar bagi mengatasi ancaman virus ini.
Malaysia juga harus bertindak cepat dan mengadakan sebuah pasukan misi kritikal terdiri daripada pakar kesihatan, penyelidik dan pakar ekonomi dan pemain industri bagi mencari jalan untuk menangani ancaman ini. Mungkin terdapat beberapa amalan terbaik yang boleh negara ambil dari negara lain.
Pertumbuhan ekonomi negara sekarang sudah terlalu perlahan kerana kekecohan politik yang sedang berlaku dan ini pula diburukkan lagi dengan kejutan akibat Covid-19. Dijangka keadaan ekonomi negara akan menjadi lebih teruk jika ancaman virus ini berterusan.
Wabak penyakit adalah salah satu ancaman paling berbahaya yang boleh dihadapi oleh mana-mana negara. Adalah penting negara secara kolektif dan dengan kerjasama negara-negara lain bersedia menghadapi ancaman ini.
Antaranya, perlu ada pelan pencegahan dan kawalan serta rangsangan fiskal terperinci dan teliti untuk meningkatkan permintaan penggunaan untuk memulihkan ekonomi.
Sebelum terlewat, negara harus segera menyediakan dan mendedahkan kepada rakyat butiran perinci pelan kontingensi bagi menghadapi ancaman Covid-19 untuk meyakinkan pelabur dan pengusaha.
Moaz Nair merupakan pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.