Hospital Sungai Buloh dikhaskan rawat penyakit berjangkit

Hospital Sungai Buloh dikhaskan rawat penyakit berjangkit

Ketua pengarah kesihatan berkata, Hospital Sungai Buloh akan menjadi hospital kekal untuk merawat penyakit berjangkit.

Tingkat 4 dan 5 Hospital Sungai Buloh dikhususkan untuk pesakit Covid-19, sementara tingkat 3 dengan 14 katil ICU dikhaskan kepada pesakit serius, memerlukan bekalan oksigen dan rawatan rapi. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Susulan penularan Covid-19 di dalam negara, Hospital Sungai Buloh di Selangor akan dijadikan hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit.

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr Suresh Kumar Chidambaram berkata ini bagi memastikan kemudahan dan persiapan yang diperlukan lengkap untuk menghadapi sebarang kemungkinan di masa depan.

“Kami maklum hospital berhadapan masalah katil, tetapi pengalaman di Sungai Buloh, kami telah menyelesaikan pengurusan katil, tiada masalah kekurangan katil untuk pesakit Covid-19 di hospital ini,” katanya pada sesi libat urus Kementerian Kesihatan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dan pengamal media di Kementerian Kesihatan semalam.

Kini, beliau berkata, tingkat 4 dan 5 hospital itu dikhususkan untuk pesakit Covid-19 masing-masing dengan 112 katil, sementara tingkat 3 pula dengan 14 katil unit rawatan rapi (ICU) akan dikhaskan kepada mangsa yang serius dan memerlukan bekalan oksigen serta rawatan rapi.

Hisham berkata, jabatan sedia ada dari 2 tingkat yang dikosongkan itu dipindahkan ke fasiliti perubatan berhampiran supaya Hospital Sungai Buloh boleh menumpukan penyakit berjangkit seperti kes Covid-19.

Ditanya sama ada hospital untuk penyakit berjangkit di Sungai Buloh hanya sementara sehingga wabak itu berakhir, katanya, ia akan menjadi hospital untuk penyakit berjangkit yang kekal kerana ada permintaan mengenainya.

Beliau berkata, selain Hospital Sungai Buloh sebagai pusat perubatan yang dikhususkan merawat kes Covid-19, Hospital Shah Alam dan Hospital Rehabilitasi Cheras turut memainkan peranan sama.

Turut hadir sesi taklimat itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr Rohaizat Yon dan pakar kesihatan awam, Dr Wan Noraini Wan Mohamed Nor.

Dalam taklimat itu, Chong berkata, virus Covid-19 disebarkan menerusi titisan kecil, bukannya menerusi udara dan ia boleh merebak dalam persekitaran berhawa dingin tertutup berbanding di bawah sinaran matahari kerana suhu tinggi boleh membunuh virus itu.

“Apabila titisan kecil jatuh ke atas lantai, ia mati apabila kering, tetapi jika anda batuk pada tangan dan tangan menjadi pembawa jangkitan. Justeru, jangan menggosok muka atau mata dengan tangan dan selalu membasuh tangan.

“Disebabkan virus itu merebak menerusi titisan kecil dan bukannya udara, menggunakan penutup mulut dan hidung (sebagai perlindungan) sudah mencukupi. Jika virus itu tersebar menerusi udara, seseorang itu memerlukan topeng N95.”

Selain itu, antara isu yang dibincangkan ialah mengkaji penggunaan polis bantuan untuk mengesan kontak pesakit diuji positif jika kakitangan perubatan awam sedia ada tidak dapat menguruskan peningkatan angka kontak rapat yang perlu dijejaki.

Orang ramai juga digesa menggunakan klinik maya atau laman sesawang kementerian untuk mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai Covid-19 sebagai langkah mengurangkan kesesakan hospital, selain perkhidmatan mendapatkan sampel di rumah untuk ujian Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.