PPBM, Umno dan PAS serah nama calon MB kepada Sultan Perak

Sultan Nazrin Shah akan meneliti senarai nama calon menteri besar Perak yang diserahkan PPBM, Umno dan PAS sebelum melantik seorang Adun yang mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat sebagai menteri besar ke-13.

PETALING JAYA: Istana Perak hari ini memaklumkan PPBM, Umno dan PAS menyerahkan nama calon menteri besar negeri itu untuk dipertimbangkan Sultan Nazrin Shah, susulan peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Abd Rahim Mohamad Nor berkata, Faizal menghadap Sultan Nazrin pada 9.30 pagi tadi untuk menyerahkan surat letak jawatan beliau dan exco negeri.

“Beliau memaklumkan Pakatan Harapan yang menubuhkan kerajaan negeri pada 12 Mei 2018, sekarang ini tidak lagi mempunyai majoriti mudah untuk meneruskan kerajaan yang dibentuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Faizal kemudiannya menyerahkan surat selaku ketua PPBM Perak yang memaklumkan parti itu mencapai kata sepakat dengan Umno dan PAS untuk menubuhkan kerajaan negeri baru.

Susulan itu, pemimpin 3 parti berkenaan menghadap dan menyerahkan nama calon menteri besar untuk pertimbangan Sultan Nazrin.

Beliau berkata, Sultan Perak akan meneliti senarai nama itu dan melantik seorang Adun yang mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat sebagai menteri besar ke-13.

Terdahulu, Faizal ketika di luar Istana Kinta di Ipoh dilaporkan berkata, kepimpinan PPBM Pusat mencalonkan beliau semula sebagai menteri besar di bawah gabungan baru.

Sebelum ini, kedudukan di DUN Perak berubah selepas 32 Adun bersetuju membentuk kerajaan negeri baru.