Muhyiddin mahu Dr M sokong kerajaan baru

Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mahu Dr Mahathir Mohamad menyokong kerajaan pimpinannya.

“Saya mahu Mahathir sokong kerajaan ini kerana ia mematuhi undang-undang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya di Perdana Putra hari ini.

“Saya tidak mahu pilihan raya mengejut diadakan. Ia bukan masa yang sesuai. Saya berharap semua orang memberi sokongan untuk kami lakukan terbaik.”

Katanya, beliau mendapat banyak sokongan dalam kerajaan baru pimpinannya.

“Seperti yang saya katakan, ia akan menjadi Kabinet yang berfungsi dengan baik.”

Muhyiddin turut mendedahkan kandungan sepucuk surat yang dihantar kepada Mahathir, di mana beliau memohon maaf kepada bekas perdana menteri itu jika menyinggung perasaannya.

Dalam surat itu, katanya, beliau turut menyuarakan hasrat mahu menemui Mahathir, tetapi ahli Parlimen Langkawi itu belum sedia berjumpa dengannya.

“Saya sedia jumpa (Mahathir) bila-bila masa dan di mana saja.”

Muhyiddin berkata, beliau turut mendoakan keluarga Mahathir dalam keadaan sihat menerusi surat yang ditulis kepadanya seminggu lalu.

Ahad lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Wan Saiful Wan Jan dilaporkan berkata, ketika berjumpa Muhyiddin pada Jumaat lalu, presiden parti itu memberitahu beliau menghantar surat kepada Mahathir untuk mengadakan pertemuan.

Pada 7 Mac lalu, Mahathir dilaporkan berkata, perpecahan dalam PPBM antara penyokongnya dengan Muhyiddin boleh diselesaikan dengan pemilihan parti.

Azmin dan sekutu sertai PPBM

Muhyiddin mengesahkan PPBM sudah menerima permohonan Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen PKR untuk menyertai parti itu.

“Ya, permohonan mereka telah diterima Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM untuk menyertai kami.”

Selain Azmin, 9 yang lain ialah Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah, Kamarudin Jaffar, Mansor Othman, Rashid Hasnon, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin.

Difahamkan seorang lagi ahli Parlimen, Santhara Kumar akan menjadi ahli bersekutu PPBM.

Isytihar harta

Muhyiddin berkata, semua anggota Kabinet wajib mengisytiharkan harta mereka seperti kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.

Katanya, borang akan diedarkan dan ia perlu diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam masa sebulan.

“Saya ingatkan semua menteri tentang komitmen kita untuk banteras rasuah.

“Kita akan serah kertas aku janji untuk komitmen pimpinan dalam kerajaan bagi tentukan integriti kerajaan pada tahap paling tinggi.”