
Muhyiddin berkata, isu pelantikan ketua pembangkang itu perlu diselesaikan segera kerana ia boleh menjejaskan maruah serta imej Perikatan Nasional (PN) di mata rakyat.
Katanya, beliau sudah menghantar surat kepada Majlis Tertinggi PN mencadangkan pelantikan itu perlu dibuat segera, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil, lapor Sinar Harian.
“Saya sudah pimpin PN sejak ditubuhkan, hampir lima tahun lamanya. Saya tahu perkara ini bukannya susah. Bila ada keputusan ia sepatutnya dilaksanakan segera.
“Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan boleh menulis surat kepada Speaker (Dewan Rakyat) untuk untuk memaklumkan bahawa jawatan ketua pembangkang kosong dan mencadangkan calon yang dipilih.
“Saya mohon supaya Majlis Tertinggi PN, terutama setiausaha dan pengerusi PN yang baru dilantik (Samsuri Mokhtar) memberi perhatian serius terhadap isu ini dan menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya yang dipetik sebagai berkata di majlis Aidilfitri Parlimen Pagoh.
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata, tidak wajar orang yang tidak layak masih berlegar-legar menggunakan kedudukan sebagai ketua pembangkang.
“Kalau sudah kosong, isi … tak kan tak ada (calon). Jika sudah ada calon, tidak perlu menunggu Parlimen bersidang,” katanya.
Setakat ini, jawatan ketua pembangkang masih dipegang Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.
Jumaat lalu, Presiden PAS Hadi Awang berkata, pelantikan ketua pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, keputusan berhubung jawatan berkenaan akan dimuktamadkan selepas perbincangan menyeluruh melibatkan semua parti pembangkang.
Katanya, ada masa mencukupi untuk membuat keputusan itu memandangkan sidang Dewan Rakyat hanya akan berlangsung pada Jun, dengan keutamaan ketika ini tertumpu kepada penyelesaikan urusan dalaman parti serta perkara berkaitan PN.