Penduduk negeri lain dilarang ke Sabah, kata Shafie

Shafie Apdal berkata, individu yang baru pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan Perintah Sekatan Imigresen kepada penduduk negeri lain sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok hingga 31 Mac ini.

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata semua pergerakan masuk penduduk negeri lain menerusi laluan udara, laut dan darat tidak dibenarkan, kecuali mendapat kelulusan kerajaan negeri dan pengesahan kesihatan yang membuktikan individu itu bebas Covid-19.

“Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke Sabah juga dibuat dan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Sabah ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh Sabah, termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan kebudayaan juga dikuatkuasakan.

“Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang keperluan harian.”

Shafie berkata, semua premis kerajaan juga ditutup, kecuali jabatan yang terlibat dengan perkhidmatan penting.

Katanya, kerajaan negeri mengaktifkan Jawatankuasa Bencana Negeri bermula 12 Mac lepas yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri.

“Jawatankuasa Bencana di peringkat daerah juga diaktifkan dan dipengerusikan pegawai daerah,” katanya.

Shafie berkata, kerajaan negeri berharap kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Sabah untuk membekalkan data terkini dan terperinci berkaitan penularan Covid-19 agar tindakan dapat diambil dengan cepat.