6 aktiviti eratkan hubungan kekeluargaan disaat Perintah Kawalan Pergerakan

Ambil positif Perintah Kawalan Pergerakan dengan eratkan hubungan kekeluargaan.

Jangan salah faham sebaliknya gunakan masa yang diberikan untuk eratkan hubungan kekeluargaan.

Itulah yang seharusnya ada dalam pemikiran semua orang di saat mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Dalam pengumuman itu, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak keluar rumah selain penutupan premis kerajaan dan swasta berkuatkuasa 18 Mac sehingga 31 Mac ini.

Perintah ini dibuat bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 yang semakin berleluasa ketika ini di Malaysia.

Kebetulan ia pada musim cuti penggal persekolahan, sewajarnya ibubapa boleh melakukan banyak aktiviti bersama anak-anak daripada terus-terusan berasa panik.

1. Menyiapkan kerja sekolah

Sudah pasti anak yang suidah bersekolah mempunya kerja yang perlu disiapkan. Jadi gunakanlah masa yang banyak ini untuk siapkan satu persatu kerja sekolah.

Selain itu, mereka juga boleh menambah ilmu pengetahuan dengan memahirkan diri dengan skil membaca atau menghafal sifir serta belajar mengaji menggunakan buku Iqra.

2. Projek DIY

Anda juga boleh menonton di YouTube mengenai idea-idea projek DIY menggunakan bahan-bahan terbuang yang ada dalam rumah anda.

Aktiviti ini dapat mengalihkan perhatian anak-anak kerana mereka akan fokus kepada projek yang dilakukan, jadi tidaklah mereka terasa bosan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Ia juga termasuklah aktiviti lukisan dan menggunakan bahan seperti clay, pasir dan playdoh.

3. Permainan tradisional

Permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, ceper, kayu aiskrim dan galah panjang semakin dilupakan memandangkan generasi baru kini lebih gemar menonton YouTube atau bermain game di telefon.

Jadi inilah masanya untuk mengembalikan nostalgia tersebut serta mengangkat kembali tradisi, budaya dan warisan kita. Paling penting, semua permainan ini tidak memerlukan Wi-Fi.

Aktiviti masak bersama anak-anak akan memberi satu ilmu tambahan kepada mereka.

4. Memasak

Kesempatan ini juga masa terbaik untuk ibubapa mengajar anak-anak kemahiran asas memasak.

Mulakan dengan resepi yang ringkas seperti mengoreng telur, masak nasi atau mi segera.

Ia bukan sahaja menyeronokkan tetapi sebenarnya anda sedang menambah kemahiran mereka. Siapa tahu, suatu hari nanti ia berguna untuk mereka.

5. Mengemas rumah

Jika sebelum bagi ibubapa sering merungut tiada masa untuk mengemas rumah disebabkan sibuk bekerja dan cuti Sabtu, Ahad terlalu pendek dan mahu rehat sepenuhnya, jadi inilah masanya.

Semua ahli keluarga boleh bekerjasama membersihkan rumah dengan membuang barang-barang yang tidak lagi boleh dipakai atau rosak selain membersihkan segala kuman dan bakteria yang mungkin mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Rumah bukan sahaja bersih tetapi anda telah mengurangkan pelbagai risiko penyakit akibat kuman yang mungkin terdapat di dalam rumah.

Cara ini juga secara tidak langsung akan memupuk sifat kerjasama dan ringan tulang dalam diri anak-anak.

6. Berkebun

Satu lagi aktiviti yang dilihat menarik untuk dilakukan seisi keluarga ialah dengan berkebun.

Selain anak-anak dapat belajar untuk bercucuk tanam, ia juga secara tidak langsung akan membuatkan mereka berpeluh sihat.

Anda boleh tanam sayur-sayuran atau pokok bunga dan pada masa yang sama beri didikan macam mana pokok itu hidup atau eko sistem seperti yang diajar dalam subjek sains.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]