Air suam tak cegah jangkitan Covid-19, kata persatuan perubatan

WHO sebelum ini menolak dakwaan air suam boleh mencegah jangkitan Covid-19.

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menolak dakwaan meminum air suam dapat mencegah jangkitan Covid-19.

Ia berkata demikian susulan pengguna media sosial, termasuk pakar kesihatan, mempersoalkan saranan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengenai perkara itu semasa wawancara pada Khamis.

Ketika wawancara Bicara Naratif di RTM1, Adham mendakwa virus itu tidak tahan panas dan air suam akan mengalirkan virus tersebut dari kerongkong ke dalam perut.

Bercakap kepada FMT, Presiden MMA Dr N Ganabaskaran berkata dalam amalan perubatan, semua kaedah rawatan mestilah berasaskan bukti.

“Minum air suam adalah amalan sihat kerana ia penting untuk kekal hidrat dalam melindungi daripada penyakit. Bagaimanapun, pada masa ini, tiada ubat khusus untuk mencegah atau merawat Covid-19.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebelum ini juga menolak dakwaan air suam boleh mencegah jangkitan Covid-19.

Jumlah kes di Malaysia kini 1,030 dengan 3 kematian direkodkan.