
Kelulusan Senat adalah pengesahan rasmi tertinggi universiti yang calon sudah melengkapkan semua keperluan akademik bagi program PhD.
Berdasarkan surat pengesahan tamat pengajian dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Akademik UUM bertarikh 1 Mei, Ismail, 66, disahkan melengkapkan semua keperluan akademik bagi program Doktor Falsafah Sains Politik pada semester kedua sesi Akademik 2025/2026.
Keputusan pengajian Ahli Parlimen Bera itu disahkan secara rasmi oleh Senat UUM pada 28 April.
Difahamkan, Ismail Sabri menjadi individu pertama pernah menyandang jawatan perdana menteri yang berjaya menamatkan pengajian PhD.
Beliau mula menyambung pengajian di UUM pada Februari 2024 dengan kajiannya menumpukan kepada model dasar dalam mendepani pandemik Covid-19 sebagai ancaman keselamatan kesihatan, berdasarkan pengalaman Malaysia ketika krisis Covid-19 dari 2020 hingga 2022.
Beliau berperanan sebagai menteri kanan bertanggungjawab mengetuai pengurusan wabak itu sebelum dilantik perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022 yang peranannya beralih kepada proses pemulihan ekonomi negara.
Disember lalu, Ismail lulus sesi viva voce PhD di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) yang dipengerusikan Kamarul Azman Khamis, dengan P Sivamurugan sebagai pemeriksa luar manakala Nazariah Osman menjadi pemeriksa dalaman.
Penyelia utama beliau ialah Rusdi Omar manakala penyelia kedua dan ketiga masing-masing Che Mohd Aziz Yaacob dan Jessica Ong.
Ismail Sabri ialah graduan undang-undang Universiti Malaya dan pernah menjadi peguam sebelum aktif dalam politik.