
Pegawai operasi Maybank, Chang Hui Lin, selaku saksi pendakwaan keenam memberi keterangan bahawa dana berkenaan berasal daripada KCJ Engineering Sdn Bhd.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Chang berkata transaksi tersebut melibatkan empat keping cek bernilai RM200,000 setiap satu, yang semuanya didepositkan pada tarikh sama, sepertimana dicatatkan dalam penyata bank syarikat itu.
Beliau berkata, rekod permohonan pembukaan akaun syarikat menunjukkan pengarahnya ialah Zulhelmi Mairin @ Kunting dan Hafizam Abdul Halim, manakala Zulhelmi Azman Yusoff, dan Zaid Yusoff merupakan penandatangan diberi kuasa.
Katanya, keempat-empat cek itu ditandatangani penandatangan diberi kuasa.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Amer Hamzah Arshad, Chang bersetuju bahawa transaksi tersebut telus dan selaras dengan Fasal 24.2 perlembagaan Bersatu.
Fasal terbabit menyatakan setiap sumbangan kewangan atau aset kepada parti mestilah diisytiharkan dan disimpan dalam akaun parti.
Amer: Bolehkah kita katakan keempat-empat transaksi tersebut telus?
Chang: Setuju.
Amer: Siapakah penerima cek-cek itu?
Chang: Bersatu.
Amer: Jadi, adakah ia selaras dengan Fasal 24.2 bahawa sumbangan kewangan mestilah disimpan dalam akaun parti?
Chang: Setuju.
Sebelum ini, dua pegawai bank daripada AmBank dan CIMB memberi keterangan menyatakan masing-masing RM6 juta dan RM19.3 juta telah dikreditkan ke dalam akaun Bersatu, antara 21 Febr 2022 hingga 22 Nov 2022.
Muhyiddin, 78, berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa di bawah pentadbirannya, iaitu inisiatif kerajaan yang diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 bertujuan membantu kontraktor Bumiputera.
Presiden Bersatu itu didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk meminta rasuah RM225.3 juta bagi pihak parti daripada tiga buah syarikat dan seorang individu – Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, dan Azman Yusoff.
Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Perdana Menteri, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Beliau juga didakwa dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM200 juta, didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan didepositkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di AmBank di Petaling Jaya dan CIMB Bank di Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur antara 25 Feb 2021 hingga 8 Julai 2022.
Pasukan pembelaan turut dibarisi Hisyam Teh Poh Teik, Rosli Dahlan, Chetan Jethwani, K Kumaraendran, Kee Wei Loon, Low Wei Loke, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Lee Yei Wei, Tang Jia Yearn, dan Joshua Tay.
Pasukan pendakwaan pula dibarisi Wan Shaharuddin Wan Ladin, Akram Gharib, Noralis Mat, Mahadi Jumaat, Alis Izzati Azurin Rusdi, dan Safari Abdullah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin bersambung 16 April.