Betulkah ‘Kita Jaga Kita’?

Betulkah ‘Kita Jaga Kita’?

Siapakah yang prihatin pada nasib warga emas, golongan OKU yang tinggal bersendirian serta gelandangan terbiar?

Untuk pertama kali, Malaysia dan seisinya menerima perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Marc 2020. Tapi, adakah persediaan menghadapi situasi getir ini mencukupi? Adakah golongan-golongan yang sangat memerlukan perhatian dan jagaan mendapat hak mereka? Siapakah golongan-golongan ini?

Nancy Messonnier, pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Pusat Imunisasi dan Penyakit Pernafasan, Amerika Syarikat menyatakan warga emas golongan paling berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. Apatah lagi mereka yang tinggal bersendirian memerlukan pemantauan dan perhatian lebih.

Menurut Nancy, jika golongan ini mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19, risiko untuk mereka dijangkiti lebih tinggi. Dalam situasi sekarang di Malaysia, warga emas perlu memastikan bekalan ubat-ubatan dan barangan keperluan makanan mencukupi ketika tinggal di rumah.

Pihak kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempunyai peranan yang besar. Semestinya dalam memastikan warga emas, terutama yang tinggal bersendirian tidak tercicir dan keseorangan menghadapi kegawatan Covid-19.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tinggal bersendirian juga janganlah dilupa. Sedangkan ketika hari-hari tanpa Covid-19 pun mereka perlukan perhatian dan bantuan khusus, apatah lagi apabila kawalan pergerakan dilaksanakan kini.

Kata Nancy lagi, selain warga emas, golongan OKU serta yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, sakit jantung dan sebagainya, berisiko 2 kali ganda untuk dijangkiti Covid-19. Oleh itu, golongan-golongan ini perlu diberikan maklumat untuk mengelak daripada terdedah dengan risiko dijangkiti wabak ini.

Selain daripada warga emas dan OKU, gelandangan kelompok lain yang tidak boleh diketepikan. Golongan ini tentu sahaja lebih mudah terdedah dengan sebarang bentuk penyakit, apatah Covid-19 yang seperti kita ketahui amat mudah berpindah kepada individu lain.

Siapakah yang dapat membela nasib ketiga-tiga golongan ini? Siapakah yang prihatin pada nasib warga emas, golongan OKU yang tinggal bersendirian serta gelandangan terbiar?

Dapat difahami keadaan Malaysia kini berada pada gelombang kedua Covid-19 dan bilangan kes semakin bertambah. Kekurangan kakitangan dan keperluan perubatan pastinya mengekang ikhtiar lain untuk memberi perhatian kepada golongan-golongan tersebut.

Namun, wajarkah itu semua dijadikan alasan dan mengabaikan mereka secara total? Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dan mengatur strategi supaya mereka tidak ketinggalan.

Kita? Jika berjiran atau berkenalan dengan golongan-golongan ini, ziarah, lawat (ambil langkah pencegahan) dan menyumbanglah berdasarkan kemampuan masing-masing.

Kita jaga kita. Warga emas, golongan OKU dan gelandangan lebih memerlukan jagaan daripada kita semua, khususnya kerajaan.

Ghafar NS adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.