Pakej rangsangan ekonomi dalam konteks pengurusan kewangan

Terdapat pelbagai reaksi terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri petang semalam.

Ramai yang menyahut baik pakej menyeluruh berjumlah RM250 bilion ini. Walau bagaimanapun ada juga yang mempertikaikan jumlah yang disebut memandangkan jumlah suntikan fiskal secara langsung adalah berjumlah RM25 bilion .

Bagi saya pakej ransangan ini memang prihatin rakyat dan menyeluruh. Memandangkan ramai yang memberikan ulasan terhadap langkah terperinci itu, Izinkan saya memberikan ulasan dalam konteks pengurusan kewangan/fiskal secara keseluruhan.

Dalam mentadbir sesebuah negara, selain daripada suntikan fiskal langsung melalui bajet kerajaan persekutuan, mana-mana kerajaan perlu menggembleng dana daripada pelbagai sumber untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Ini termasuklah dana daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta. Lagipun kira-kira 2/3 daripada ekonomi negara kini dipacu oleh sektor swasta.

Pada 27hb Februari 2020 yang lalu bekas perdana menteri ke-7 mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) bernilai RM20 bilion. Daripada jumlah ini, hanya RM3.5 bilion adalah suntikan fiskal langsung daripada kerajaan persekutuan.

Selebihnya adalah daripada sumber luar bajet, iaitu RM10 bilion daripada suntikan pengurangan kadar 4% caruman pekerja KWSP, RM3.5 bilion dana pinjaman BNM, BSN dan agensi lain, serta RM3 bilion daripada sumber-sumber lain.

Bajet 2020 dan kejatuhan harga minyak

Dalam Bajet 2020 yang dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober 2019, kerajaan memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM297 bilion berbanding jumlah hasil sebanyak RM244.5 bilion .

Ini bermakna setelah mengambil kira terimaan balik pinjaman RM0.8 bilion, kerajaan akan mengalami defisit fiskal sebanyak RM51.7 bilion atau 3.2% daripada KDNK pada nilai semasa RM1,608 bilion.

Suntikan langsung RM3.5 bilion yang diumumkan dalam PRE 2020 akan meningkatkan defisit fiskal tahun 2020 kepada 3.4% daripada KDNK.

Krisis ekonomi global akibat wabak Covid-19 akan mengurangkan hasil kerajaan dengan ketara.

Sebagai contoh, seingat saya, setiap AS$1 kejatuhan harga minyak mentah Brent setong akan mengakibatkan pengurangan hasil kerajaan sebanyak kira-kira RM300 juta setahun.

Bajet 2020 disediakan berdasarkan andaian purata harga minyak mentah Brent AS$62 setong. Harga minyak Brent terkini adalah AS$25 setong dan purata harga untuk bulan Mac adalah AS$35 setong.

Ini bermakna sekiranya purata harga minyak Brent untuk tahun 2020 adalah AS$35 setong, hasil kerajaan akan berkurangan sebanyak kira-kira RM8 bilion.

Hasil cukai pendapatan juga dijangka berkurangan akibat penurunan pendapatan bercukai individu dan korporat.

Jika diandaikan hasil kerajaan keseluruhannya akan berkurangan sebanyak RM22 bilion, ia akan meningkatkan defisit fiskal kepada kira2 RM74 bilion atau 4.6% daripada KDNK.

Pakej rangsangan ekonomi dan defisit fiskal

Dalam pembentangan pakej rangsangan PRIHATIN, perdana menteri mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion, iaitu RM20 bilion daripada PRE 2020 yang terdahulu dan RM230 bilion rangsangan tambahan.

Daripada jumlah RM230 bilion ini, RM22 bilion adalah suntikan fiskal langsung, RM100 bilion dalam bentuk moratorium pinjaman, RM55 bilion dalam bentuk jaminan, RM40 bilion pengeluaran KWSP dan RM13 bilion daripada lain-lain sumber.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suntikan fiskal langsung ialah sebanyak RM25 bilion, atau 1.6% daripada KDNK (pada nilai semasa yang sama).

Dengan tambahan RM25 bilion ini, defisit fiskal akan meningkat kepada RM99 bilion atau 6.2% daripada KDNK.

Saya difahamkan terdapat beberapa langkah peningkatan hasil dan pengurangan perbelanjaan operasi yang dapat mengurangkan defisit fiskal kepada RM74 bilion atau 4.6% daripada KDNK.

Defisit 4.6% daripada KDNK ini adalah lebih rendah daripada defisit 6.7% yang pernah dicatatkan pada tahun 2009 semasa Malaysia mengalami krisis kewangan global.

Ini selaras dengan kenyataan perdana menteri bahawa kerajaan akan memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan.

Kerajaan juga perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

Defisit di bawah paras 5% ini akan mengurangkan tekanan terhadap penarafan kredit antarabangsa Malaysia semasa A3/A- . Ia juga akan memberikan ruang untuk kerajaan melaksanakan langkah tambahan sekiranya wabak Covid-19 berlarutan melangkaui tempoh 6 bulan.

Secara keseluruhan pakej rangsangan yang bermatlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi yang telah diumumkan adalah bertepatan dalam keadaan yang amat sukar, tidak pernah dilalui dan tidak menentu ini.

Marilah kita bersikap membina dan bersama-sama memainkan peranan masing-masing mengatasi krisis global ini yang mengancam nyawa, kehidupan dan kesejahteraan kita.

Abdul Wahid Omar merupakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas perancangan ekonomi dari 2013 hingga 2016 dan presiden serta ketua pegawai eksekutif Maybank dari 2008 hingga 2013.

Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.