Kerajaan kecualikan caj RM1 bagi pengeluaran wang di ATM

Ismail Sabri menasihati orang ramai tidak menyerbu mesin ATM dan mematuhi penjarakkan sosial 1 meter.

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan bersetuju mengecualikan caj RM1 bagi pengeluaran wang di semua ATM bermula 6 April ini sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat bagi mengurangkan kesesakan di institusi perbankan dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak Covid-19.

“Kita difahamkan ramai pengguna bank masih lagi menggunakan juruwang dalam bank untuk mengeluarkan wang kerana ATM mengenakan caj RM1.

“Melalui Kementerian Kewangan, kerajaan memutuskan semua institusi perbankan akan mengecualikan caj RM1 untuk pengeluaran di ATM yang mengunakan rangkaian Meps yang akan bermula pada Isnin ini 6 April sehingga tamat PKP.

“Ini akan memberi ruang dan kemudahan kepada rakyat supaya guna ATM, jadi tidak perlu berpusu-pusu ke bank untuk keluarkan wang,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat harian khas menteri dalam mendepani wabak Covid-19 di Perdana Putra hari ini.

Ismail yang juga menteri kanan turut menasihati orang ramai tidak menyerbu mesin ATM dan mematuhi penjarakkan sosial 1 meter.

“Pada masa sama saya menasihatkan sebarang urusan bank ini, kerajaan menyarankan rakyat mengamalkan penggunaan perbankan atas talian dari segi pengurusan kewangan termasuk memindahkan wang atau pembayaran,” katanya.