Pengebumian meningkat di Jakarta, bimbang kematian Covid-19 tidak dilapor

Pasukan perubatan memakai sut PPE ketika merawat pesakit yang rebah di luar klinik di Jakarta, bulan lalu, (Gambar AP)

JAKARTA: Jumlah pengebumian di Jakarta meningkat pada Mac, di mana gabenor ibu kota Indonesia itu berkata kematian akibat Covid-19 mungkin lebih tinggi berbanding yang dilaporkan secara rasmi.

Hampir 4,400 pengkebumian berlaku pada Mac, 40% lebih tinggi berbanding mana-mana bulan sejak Januari 2018, menurut kajian semula Reuters dari statistik Jabatan Taman dan Perkuburan bandar.

Jumlah tertinggi ke-2 dalam tempoh itu ialah pada Mac 2019, di mana hampir 3,100 orang dikebumikan.

Reuters memperoleh statistik dari permulaan 2018.

Bandar itu berada di pusat jangkitan Covid-19 di Indonesia, menyumbang 971 kes dan 90 kematian, menurut data kerajaan pusat.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, dan beberapa pakar kesihatan mengjangkakan jumlah jangkitan dan kematian di Jakarta dilaporkan dengan ketara kerana salah satu daripada kadar ujian terendah di dunia.

“Ia sangat mengganggu,” kata Baswedan kepada Reuters pada Jumaat, merujuk kepada statistik pengkebumian. “Saya berjuang mencari alasan lain berbanding kematian Covid-19 yang tidak dilaporkan.”

Seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan tidak memberi maklum balas terhadap panggilan telefon dan mesej yang meminta ulasan mengenai statistik pengebumian. Jurucakap Presiden Joko Widodo juga tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.

Angka dari Jabatan Taman dan Pengebumian di Jakarta tidak mengenal pasti punca kematian, namun tidak ada epidemik baru dilaporkan di Jakarta dalam tempoh itu dan juga tidak ada bencana alam besar berlaku.

Indonesia menjalankan hampir 2 kali ganda ujian minggu lalu namun ia dijalankan hanya 7,621 orang di negara yang dihuni lebih 260 juta orang.

Sehingga Jumaat, Kementerian Kesihatan melaporkan jumlah jangkitan di Indonesia adalah 1,986. Kematian akibat Covid-19 adalah 181, yang paling banyak di Asia selain China.

Dalam wawancara pada Khamis, sebelum Baswedan membuat komennya, Achmad Yurianto, pegawai kanan Kementerian Kesihatan mempertahankan sistem pelaporan dan pengujian.

Beliau berkata kerajaan pusat berdasarkan data hasil makmal menggunakan kaedah tindak balas rantai polimerase (PCR) yang tepat. Beliau tidak menjawab permintaan untuk memberi komen mengenai angka pengebumian.