Polis tahan ahli majlis MBSA, 3 rakan main badminton ketika PKP

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Selangor, Mohd Ismail Muslim mengesahkan 4 individu terbabit ditahan polis Shah Alam pagi tadi. (Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Seorang ahli Majlis Bandaraya Shah Alam bersama 3 rakan ditahan polis kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) sewaktu bermain badminton di sebuah dewan di Seksyen 23 Shah Alam.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Selangor, Mohd Ismail Muslim mengesahkan perkara itu dengan memaklumkan 4 individu terbabit ditahan polis Shah Alam pagi tadi.

“Kita sudah ambil tindakan sejak kes ini tular dalam media sosial Facebook membabitkan 4 inidividu itu yang dikatakan bermain badminton malam tadi.

“Salah seorangnya adalah ahli majlis MBSA yang dilantik atas kapasiti politik. Saya tidak perlulah sebut dari parti politik mana,” katanya yang juga merupakan jurucakap khas Op Covid-19 Polis Selangor, pada satu sidang media di sini, hari ini.

Katanya, polis kini dalam proses mendapatkan reman ke atas mereka.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat mengikut Peraturan 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Ismail berkata, beliau difahamkan bahawa tindakan dalaman juga akan diambil oleh datuk bandar MBSA terhadap individu berkenaan

“Terpulamg kepada lembaga disiplin MBSA menentukan hukuman sesuai.

“Perintah reman ke atas 4 individu berkenaan sedang diuruskan di mahkamah hari ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan individu terbabit mengarahkan Dewan MBSA Pejabat MPP Zon 9 Jalan Azalea 25/28 dibuka untuk membolehkan beliau bermain badminton bersama 3 lagi rakannya.

Dalam perkembangan sama, Ismail turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi PKP dengan berkata, perbuatan berada di sekitar kawasan pagar rumah juga boleh diaambil tindakan.

“Sekiranya berlegar di luar rumah walaupun di kawasan berpagar juga merupakan kawasan awam dan mereka tidak boleh berada di kawasan tersebut tanpa alasan munasabah.

“Kalau nak bersenam, nak main badminton lupakanlah. Tidak boleh berada di luar rumah, khususnya yang mendiami rumah strata,” katanya.