Idea menarik… ATM beras ‘percuma’ di Vietnam khas untuk golongan memerlukan elak sebar Covid-19

Golongan yang memerlukan akan mengambil beras secara percuma yang disediakan di bandar Ho Chi Minh. (Gambar Twitter)

Ketika seluruh dunia sedang bergelut memerangi wabak Covid-19 yang boleh membawa maut, masih ada ramai insan yang berhati mulia sanggup membantu golongan yang memerlukan ketika berdepan saat genting ini.

Apa yang dilakukan di Vietnam ini wajar dijadikan contoh bagi membantu golongan yang terdesak dan memerlukan.

Ini kerana perintah “lockdown” membuatkan ramai penduduknya terjejas akibat tidak dapat bekerja.

Sehubungan itu ada pihak yang menyediakan beras secara percuma kepada mereka yang memerlukan di negara itu.

Menurut perkongsian @LunaOi_VN di Twitter, uniknya, beras ini boleh diambil berkonsepkan ATM, di mana individu hanya perlu menekan butang yang disediakan pada ATM tersebut dan beras akan keluar melalui paip yang tersedia.

Namun hanya 1.5kg beras boleh diambil pada satu-satu masa daripada ATM beras yang ditempatkan di bandar Ho Chi Minh itu.

Selepas menekan butang yang disediakan beras akan keluar melalui corong khas sebanyak 1.5kg. (Gambar Twitter)

Mengikut pencipta mesin ini, Hoang Tuan Anh, idea untuk membina mesin ini timbul apabila dia melihat ramai pihak yang menyumbangkan beras kepada orang ramai secara berkumpulan dan tindakan ini boleh meningkatkan lagi kadar jangkitan, lapor Redfish.

Sehubungan itu, dia mengambil inisiatif untuk membina ATM beras yang beroperasi selama 24 jam.

Orang ramai perlu beratur dengan jarak 1m antara satu sama lain jika mahu mengambil beras yang disediakan. (Gambar Twitter)

Orang ramai juga perlu beratur dengan jarak 1m antara satu sama lain jika mahu mengambil beras yang disediakan.

Selain itu, mereka juga perlu menggunakan hand sanitizer yang disediakan sebelum mengambil beras.

Mungkin idea ini dapat diaplikasikan di Malaysia bagi membantu keluarga asnaf dan mereka yang memerlukan dan pada masa yang sama dapat elak daripada kunjungan rumah ke rumah supaya semua dapat memutuskan rantaian Covid-19.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]