Mahkamah Tinggi tangguh hukuman pembantu kedai hina polis

Mahkamah Tinggi tangguh hukuman pembantu kedai hina polis

Mahkamah memerintahkan Nursahira membayar ikat jamin RM5,000 dengan 2 penjamin dan melaporkan diri di balai polis Pendang 2 minggu sekali.

Nurshahira Mohd Mizuar dan ahli keluarganya bersama peguam Naran Singh (kiri) selepas Mahkamah Tinggi memberikan keputusan berkaitan kesnya.
ALOR SETAR:
Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan hukuman penjara 3 bulan dan denda RM10,000 dikenakan terhadap pembantu kedai yang mengaku bersalah menghina polis di media sosial berhubung penularan Covid-19.

Hakim Ghazali Cha, yang membenarkan permohonan Nurshahira Mohd Mizuar untuk menangguhkan hukuman, berkata terdapat merit dalam kesnya.

“Saya bersetuju dengan peguamnya bahawa rayuannya akan sia-sia pada masa ia didengar di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Ghazali memerintahkan Nursahira membayar ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan 2 penjamin dan melaporkan diri di balai polis Pendang 2 minggu sekali sementara menunggu pelupusan rayuannya.

Peguam, Naran Singh, yang mewakili Nursahira, berkata ibunya membayar jaminan pada petang ini untuk membebaskannya.

“Dia ditempatkan di dalam lokap polis dari 27 Mac dan kemudian dihantar ke penjara selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen,” katanya kepada FMT.

Pada 31 Mac, Nursahira dihukum penjara 3 bulan dan didenda RM10,000 atau 2 bulan penjara kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik di Facebook dengan niat menyinggung orang lain di sebuah rumah di Persiaran Kiara Mas, Pendang, pada 10.12 malam pada 27 Mac.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 1 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Naran berkata Nursahira tidak diwakili peguam ketika dia mengaku bersalah.

Mahkamah Sesyen pada 1 April menolak untuk menangguhkan hukuman itu sementara menunggu rayuan dan ini menyebabkan Naran memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Azrul Abd Rahman membantah permohonan itu berdasarkan alasan tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.