Pusat kuarantin dan rawatan MAEPS mula terima pesakit Covid-19 minggu depan

Pusat kuarantin dan rawatan MAEPS mula terima pesakit Covid-19 minggu depan

Fasiliti disediakan di MAEPS sama seperti di hospital termasuk katil, ruang mandi, bilik persalinan, tandas, ruang istirahat dan sebagainya.

Pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah di MAEPS akan menerima pesakit dari sekitar Lembah Klang, Melaka dan beberapa kawasan di Perak. (Gambar Bernama)(
KUALA LUMPUR:
Pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di Serdang, dijangka menerima pesakit minggu depan.

Ketua pegawai eksekutif Kumpulan Mardi Corp, Zaidi Shahrim, berkata, persediaan pusat berkenaan mencecah 95% dan kemungkinan pusat itu dibuka sebelum Ahad ini.

“MAEPS akan terima pesakit Covid-19 yang berisiko rendah dari sekitar Lembah Klang, Melaka dan beberapa kawasan di Perak,” katanya ketika ditemu bual menerusi aplikasi Skype yang bersiaran secara langsung di ‘Bernama 7.45’, malam tadi

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang proses menukar “wajah” MAEPS kepada pusat kuarantin dalam masa singkat, beliau berkata, kesukarannya adalah untuk mendapatkan bahan bekalan daripada kontraktor kerana banyak pihak “terikat” dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kita terima arahan ketika fasa pertama PKP, tetapi dengan kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), bomba, dan lain-lain syarikat, kita dapat merealisasikannya dalam masa 4 hari ini,” tambahnya.

Beliau juga berkata, fasiliti yang disediakan di MAEPS sama seperti kemudahan di hospital iaitu katil, ruang mandi, bilik persalinan, tandas, ruang istirahat dan sebagainya.

Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat itu ialah perkhidmatan klinikal, wad untuk pesakit Covid-19, ruang resusitasi untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulans, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan X-ray, dan perkhidmatan makmal patologi.

Pusat kuarantin sementara itu mampu menempatkan sehingga 600 pesakit pada satu-satu masa dan ia diselaraskan oleh Nadma dengan kerjasama KKM, tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.