Ismail Sabri tekad jaga anak angkat YKM sampai tamat universiti

Ismail Sabri tekad jaga anak angkat YKM sampai tamat universiti

Kira-kira 1,000 anak yatim Covid-19 di bawah jagaan Yayasan Keluarga Malaysia yang menerima pelbagai bantuan.

ZIARAH KASIH YKM
Ismail Sabri Yaakob berkunjung ke salah sebuah rumah anak angkat Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) di Johor Bahru, baru-baru ini.
JOHOR BAHRU:
Ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada 2020, Ismail Sabri Yaakob muncul antara tokoh paling ke hadapan merangka strategi memastikan kehidupan rakyat dapat diteruskan, walaupun dalam suasana penuh sekatan dan kebimbangan.

Sebagai menteri kanan ketika itu dan kemudiannya perdana menteri, beliau terlibat secara langsung menguruskan tempoh PKP daripada soal kesihatan awam hinggalah kebajikan rakyat yang terkesan teruk.

Namun bagi Ahli Parlimen Bera itu, kesan Covid-19 tidak berakhir apabila negara memasuki fasa endemik. Di sebalik angka korban, wujud satu kelompok yang menurutnya tidak boleh dilupakan – anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak itu.

“Sebab itu saya tubuhkan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM). Kita tak macam sesetengah negara, bila Covid-19 habis, semua ditutup,” katanya dalam temu bual dengan FMT sempena kunjungan ke dua rumah keluarga angkat yayasan itu, baru-baru ini.

Beliau berkata YKM diwujudkan ketika beliau menjadi perdana menteri bagi memastikan kebajikan kira-kira 1,000 anak angkat YKM terus dipantau, khususnya mereka yang tinggal bersama nenek, saudara-mara atau hidup atas ihsan masyarakat.

“Ada masih bersekolah dan hidup serba kekurangan.

“Jadi saya buat keputusan, kita mesti jaga anak-anak ini bukan setakat sampai umur 18 tahun tetapi kalau sambung belajar sampai universiti, kita tanggung sampai habis,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, ketika ditubuhkan pada 2021 kerajaan ketika itu memperuntuk RM25 juta sebagai dana permulaan diikuti peruntukan RM5 juta setahun bagi menampung keperluan anak angkatnya.

Larian Keluarga Malaysia antara pendekatan YKM untuk menambah dana membantu kebajikan anak angkatnya.

Tetapi pada masa sama, YKM turut berikhtiar mencari dana sendiri antaranya inisiatif seperti Larian Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata keadaan itu membolehkan yayasan terbabit bantuan bulanan secara konsisten, bukan bermusim contohnya RM200 untuk bawah 16 tahun manakala RM250 untuk 16 tahun ke atas.

Selain itu, bantuan sekali beri (one-off) turut disediakan sempena perayaan utama seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Kaamatan serta Gawai selain bantuan persekolahan dan universiti.

Mengulas mengenai masa depan YKM, Ismail Sabri berharap yayasan itu dapat diteruskan sebagai satu legasi kebajikan negara.

“YKM ini walaupun nampak macam yayasan persendirian, sebenarnya boleh dianggap milik kerajaan juga.

“Dana RM25 juta itu daripada kerajaan dan ahli lembaga pengarah pula terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.