MITI akan teliti, perhalus kebenaran operasi kedai gunting rambut semasa PKP

MITI akan teliti, perhalus kebenaran operasi kedai gunting rambut semasa PKP

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, MITI akan memberi penjelasan berhubung isu operasi kedai gunting rambut dalam tempoh PKP.

Terdahulu banyak pihak mempersoal langkah MITI membenarkan operasi kedai gunting rambut dalam tempoh PKP.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti dan memperhalusi setiap pandangan yang disuarakan oleh rakyat berhubung langkah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi dalam tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak MITI akan mengeluarkan kenyataan media untuk beri penjelasan berhubung isu itu.

“Seperti saya sebutkan semalam, MITI akan meneliti setiap pandangan diberikan.

“Bukan bermakna secara automatik makluman MITI akan dilaksanakan apabila ia diumumkan. Saya difahamkan ada proses permohonan. Tidak semestinya ia diterima atau ditolak. Ini adalah keputusan yang akan dibuat oleh MITI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik langkah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi dalam tempoh PKP.

Ismail berkata demikian pada sidang media harian selepas mesyuarat khas menteri dan pihak terlibat dalam mendepani penularan wabak Covid-19 hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan supaya kerajaan menangguhkan sementara keputusan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi ketika PKP yang kini dilanjutkan sehingga 28 April depan.

Noor Hisham mencadangkan supaya Putrajaya mengekalkan sekatan ke atas pergerakan rakyat dan perniagaan yang dilaksanakan ketika PKP fasa 1 dan 2 kerana ia berjaya mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan 9 sektor ekonomi tambahan dibenarkan beroperasi di bawah syarat ketat susulan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.

Antaranya, salun dan kedai gunting rambut yang hanya boleh menawarkan perkhidmatan menggunting rambut, dan kedai dobi perkhidmatan penuh, bukan kedai dobi layan diri.

Bagaimanapun, semua syarikat dalam sektor tambahan itu boleh memulakan perniagaan hanya selepas mendapat kelulusan MITI.

Dalam pada itu, Ismail berkata, cadangan asal daripada MITI hanyalah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi di kawasan hijau, bukan zon merah Covid-19.

Katanya, bagaimanapun maklumat lengkap dan prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan oleh MITI.

“Ia terserah kepada MITI,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.