
Kementerian juga memaklumkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan.
Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata pembukaan semula sesi persekolahan hanya akan dibuat apabila kerajaan benar-benar yakin keadaan kembali pulih.
Perkembangan ini disebalik penguatkuasan PKP fasa ke-3 mulai hari ini.
Sekolah ditutup sejak Mac ketika kerajaan berusaha mengawal penularan wabak Covid-19.
“Keputusan ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian.
“Sekolah yang tidak berdaftar dengan kementerian juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain SPM, turut ditunda Sijil Vokasional Malaysia (suku pertama 2021), tarikh peperiksaan semester 2 dan 3 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (Ogos 2020 dan suku pertama 2021), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (suku pertama 2021).
“Menyedari penundaan tarikh peperiksaan ini akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, kementerian dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baru ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021,” katanya.
Menteri juga memaklumkam pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian murid, walaupun keputusan ujian itu antara kriteria pemilihan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).
“Kementerian akan memperkenalkan kaedah baru bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata,” tambahnya.
Kementerian juga akan memperkenalkan kaedah baru ekoran pembatalan PT3, yang juga tidak akan menjejaskan penilaian murid.
“Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik,” katanya.