Ahli akademik sokong gesaan perkukuh pertanian, perikanan

Ahli akademik sokong gesaan perkukuh pertanian, perikanan

Yeong Sheng Tey daripada UPM berkata, PKP mendedahkan kelemahan rantaian nilai dan ancaman terhadap keselamatan makanan.

Yeong Sheng Tey berkata, industri pertanian dan berasaskan pertanian secara keseluruhannya menyumbang kira-kira RM163 bilion kepada KDNK atau 10.8% pada 2017.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menyokong gesaan memperkukuh sektor pertanian dan perikanan kerana masalah berkaitan perintah kawalan pergerakan (PKP) menonjolkan kepentingan keselamatan makanan.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berhubung keperluan meningkatkan pembangunan industri pertanian, Yeong Sheng Tey daripada Institut Kajian Dasar Pertanian Dan Makanan Universiti Putra Malaysia, berkata PKP mendedahkan beberapa kelemahan serius dalam rantaian nilai sedia ada yang meningkatkan tekanan terhadap keselamatan makanan.

Katanya, semua rancangan jangka panjang perlu dikaji semula untuk memperkukuh industri itu dan memperkasakan petani serta perusahaan kecil dan sederhana.

Selasa lalu, Mohamad dalam satu kenyataan berkata, Malaysia boleh mengurangkan kos import, memastikan keselamatan makanan terjamin dan menyediakan peluang pekerjaan jika kerajaan memperkukuh sektor pertanian serta perikanan.

Tey mendapati industri pertanian biasanya dianggap bernilai rendah dan ia adalah pandangan tidak adil kerana sumbangan pertanian kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) hanya mengambil kira nilai di peringkat ladang.

“Aktiviti tambah nilai berasaskan pertanian terletak di bawah sektor lain seperti pengeluaran untuk pemprosesan makanan. Angka Jabatan Statistik menunjukkan sektor berasaskan pertanian sebenarnya berkembang pada kadar lebih cepat berbanding sektor huluan.

Beliau berkata, industri pertanian dan berasaskan pertanian secara keseluruhannya menyumbang kira-kira RM163 bilion kepada KDNK atau 10.8% pada 2017.

Katanya, produktiviti sektor pertanian dan perikanan berubah secara dramatik sejak 10 tahun lalu berbanding sektor minyak sawit.

“Sektor penternakan, perikanan dan sayur-sayuran berkembang dari segi produktiviti lebih 1.5 kali ganda dalam tempoh itu.”

Pada 2015, purata produktiviti tahunan sektor itu sekurang-kurangnya sekali ganda sektor minyak sawit.

Yeong Sheng Tey

Tey berkata, produktiviti itu sebahagian besarnya dipacu kenaikan harga pasaran dan pelaburan swasta dalam amalan pengurusan baik, teknologi, inovasi serta rantaian bekalan.

“Pun begitu, kepentingan sektor pertanian dan berasaskan pertanian kekal diperkecilkan walaupun ia adalah tulang belakang keselamatan makanan, prasyarat pembangunan ekonomi.”

Katanya, usaha meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan perikanan perlu diperhebatkan untuk mengurangkan defisit perdagangan makanan negara dan memperluaskan banyak manfaat ekonomi serta sosial.

Beliau menggesa persekitaran mesra perniagaan membentuk pasaran kondusif dan berdaya saing.

“Pelaburan swasta sama ada melalui perkongsian penyertaan awam-swasta atau dalam bentuk lain perlu digalakkan untuk memacu pertumbuhan pertanian.”

Katanya, pembuat dasar perlu berusaha meningkatkan akses kepada input berkualiti, sumber kewangan, maklumat pasaran, kemudahan padanan perniagaan, penyelesaian rantaian bekalan dan pelaburan awam dalam teknologi perkumpulan.

Barjoyai Bardai

Pakar ekonomi Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata, memperkukuh 2 sektor itu akan meningkatkan pendapatan lebih 2 juta isi rumah.

“Tumpuan sepatutnya bukan lagi ke atas tanaman komoditi untuk eksport, tetapi penggantian import dan mewujudkan peluang perniagaan kecil” dengan nilai tambahan kepada produk perikanan dan tanaman seperti minyak sawit, kelapa, kopi, koko dan ubi kayu, katanya.

Tetapi, beliau berkata, Malaysia ketinggalan dalam penggunaan teknologi dalam pertanian dan perikanan.

“Kita perlu menyesuaikan diri dengan teknologi baru, bukan hanya dari segi mekanisasi, tetapi dalam kemahiran penanaman, amalan terbaik dan sebagainya. Kita perlu memanfaatkan ‘Internet of Things’, kecerdasan buatan, robotik dan data raya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.