Tiada lagi operasi ATM 24 jam ketika PKP, kata Putrajaya

Waktu operasi mesin ATM kini dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam bagi menghalang orang ramai menggunakannya sebagai alasan untuk keluar lewat malam.

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan operasi 24 jam bagi penggunaan mesin ATM tidak lagi dibenarkan.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, waktu operasi penggunaan mesin ATM kini dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam, bagi menghalang orang ramai menggunakannya sebagai alasan untuk keluar lewat malam dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Jadi sebelum ini pihak polis melaporkan apabila mesin ATM beroperasi 24 jam, ramai keluar dari waktu ditetapkan, tengah malam dengan alasan ada kes kecemasan.

“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk mengehadkan waktu operasi mesin ATM dari 8 pagi hingga 8 malam. Ini untuk mengelakkan pergerakan waktu malam untuk membuat urusan perbankan.

“Jadi selepas ini tidak akan ada lagi alasan untuk mereka keluar tengah malam,” katanya.

Kerajaan alukan kawalan di kawasan komuniti

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kerajaan mengalu-alukan wakil komuniti untuk membuat kawalan di kawasan masing-masing bagi memastikan anggota masyarakat patuh perintah kawalan pergerakan (PKP)

“Kita faham dan mengalu-alukan ada pihak di kawasan komuniti mengambil tindakan sendiri dalam mengawal kawasan mereka supaya penduduk patuh PKP.

“Cuma kita minta mereka maklum kepada polis, sebab ada peraturan tertentu mereka kena ikut. Sebagai contoh tidak boleh membuat tangkapan kerana mereka tak ada kuasa,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Polis tangkap 1,111 individu langgar PKP

Ismail berkata, pada hari ke-4 pelaksanaan PKP fasa 3 semalam, polis menangkap 1,111 individu kerana ingkar arahan.

“Daripada jumlah itu, 997 individu direman dan 114 Individu dijamin polis,” katanya.

Sehingga kini, jumlah kumulatif ingkar PKP sehingga semalam, ialah seramai 14,750 orang.

Ismail turut memaklumkan, 11 daripada 13 penjara sementara akan mula digunakan pada 23 April ini, bagi “mengurung” mereka yang ditahan kerana ingkar arahan PKP.

Lanjut tempoh pendaftaran JPN 90 hari

Dalam perkembangan lain, Ismail turut memaklumkan, kerajaan bersetuju melanjutkan selama 3 bulan bagi urusan pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), termasuk melibatkan kelahiran dan kematian selepas PKP tamat.

“Disebabkan kawalan pergerakan PKP, kerajaan faham semua urusan pendaftaran kelahiran dan kematian bagi warganegara Malaysia tertangguh.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran selama 90 hari selepas tempoh PKP ditamatkan dan KDN juga membuat keputusan bayaran penalti dikecualikan,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes kehilangan kad pengenalan pihak JPN boleh membantu urusan penggantian dokumen berkenaan dengan membuat temu janji.