Indeks jenayah di Selangor turun lebih 18%

Indeks jenayah di Selangor turun lebih 18%

4,675 kes dicatatkan tahun ini berbanding 5,723 kes tahun lepas.

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 sejak 18 Mac lepas menyumbang kepada penurunan indeks jenayah di Selangor.
SHAH ALAM:
Polis Selangor berkata indeks jenayah di negeri itu menurun sehingga 18.13% dari 1 Januari hingga 19 April 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, jumlah kes yang direkodkan tahun ini adalah 4,675, berbanding tahun lalu 5,723 kes.

“Jenayah kekerasan menurun sebanyak 22.99%, bersamaan dengan 297 kes.

“Bagi jenayah harta benda pula, ia menurun sebanyak 16.95% bersamaan dengan 751 kes.

“Begitu juga dengan jenayah jalanan menurun 28.18%, bersamaan dengan 244 kes,” katanya pada sidang media Ops Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Yazid berkata, antara lain, angka jenayah menurun berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 sejak 18 Mac lepas.

“Masyarakat kurang bergerak keluar, jadi potensi untuk menjadi mangsa (jenayah) itu berkurangan.

Yazid berkata, polis Selangor akan terus memperketatkan pemeriksaan di sekatan jalan raya dan operasi “snap and check” yang dijalankan.

Beliau berkata, tindakan tegas, termasuk menangkap dan mendakwa semua pesalah PKP di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 22 (B) Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit 2020 akan terus dilaksanakan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi PKP ini agar usaha kita untuk membendung wabak Covid-19 bagi fasa ke-3 ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Anggota masyarakat perlu berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP bagi memutuskan rantaian Covid-19, selain mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Jangan keluar rumah jika tiada urusan penting dan hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan keluar untuk membuat urusan seperti membeli barangan keperluan harian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.