Hubungan Umno-PN hanya kerjasama bentuk kerajaan, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

PETALING JAYA: Hubungan Umno dan Perikatan Nasional hanya berdasarkan persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan, kata pemimpin parti itu hari ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Umno tidak bergabung dengan PN, kerana gabungan itu bukan entiti politik berdaftar, tidak seperti Barisan Nasional, gabungan formal yang terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan PBRS.

“Secara mudahnya, ia adalah persefahaman untuk membentuk kerajaan dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH dan tidak lebih dari itu,” katanya dalam satu kenyataan selepas seorang ahli Parlimen pembangkang meramalkan ia akan meninggalkan gabungan pemerintah itu.

PN dianggotai PPBM, PAS, Umno-BN dan parti kecil lain yang ditubuhkan selepas kerajaan PH tumbang pada Februari, kurang 2 tahun selepas menggulingkan BN pada pilihan raya 2018. PH tumbang selepas PPBM menarik diri dari gabungan itu.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, berkata persefahaman Umno dengan PN berbeza dengan kerjasama politiknya dengan PAS. Kerjasama itu yang dikenali sebagai Muafakat Nasional melalui pelbagai proses sumbangsaran.

Kerjasama politik antara Umno, PAS termasuk BN mempunyai kerjasama politik yang teratur, kemas dan terikat yang bermatlamat untuk memenangi pilihan raya sebagai sebuah gabungan.

“Tetapi jika tidak berjaya sekalipun, kerjasama politik itu akan tetap kekal dan berfungsi,” katanya.

Beliau berkata Umno tidak akan menghadapi apa jua dilema mengenai kedudukannya dalam PN. Perjanjian untuk menjadi anggota PN “hanya menyertai kerajaan atas dasar mendukung Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia.”

Presiden PPBM Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri ke-8 pada Mac selepas memperoleh majoriti Dewan Rakyat dengan sokongan ahli Parlimen dari Umno-BN, PAS, dan lain-lain.