Ahli Parlimen Klang disiasat atas dakwaan ingkar PKP

Charles Santiago perlu hadir di balai polis 11 pagi ini.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dipanggil polis untuk disoal siasat berhubung satu laporan mendakwa beliau mengingkari perintah kawalan pergerakan (PKP).

Peguam V Vemal Arasan berkata, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Nurulhuda Mohd Salleh menghantar sepucuk surat semalam memaklumkan Santiago perlu hadir di balai polis pada 11 pagi ini.

Katanya, Santiago dipanggil untuk disoal siasat selepas satu laporan mendakwa ahli Parlimen 3 penggal itu mengingkari PKP ketika mengagihkan bekalan makanan di kawasan Parlimennya di Dewan Orang Ramai Taman Klang Utama 2 hari lalu.

“Kami akan dapatkan butiran lain daripada pegawai penyiasat,” kata peguam itu yang akan menemani Santiago ke balai polis hari ini.

Mereka yang didapati melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) boleh didenda maksimum RM1,000, penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.