Jangkitan baru atasi pulih di hari ke-3 PKP4

Jangkitan baru atasi pulih di hari ke-3 PKP4

69 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini berbanding 39 mangsa yang pulih.

PUTRAJAYA:
Kes jangkitan baru Covid-19 mengatasi bilangan pesakit yang pulih hari ini, di hari ke-3 perintah kawalan pergerakan fasa 4.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini melaporkan 69 kes jangkitan baru dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, berbanding 39 pesakit yang pulih dan dibenarkan keluar wad.

Semalam, 57 kes jangkitan baru dilaporkan berbanding 84 pesakit yang pulih dan dibenarkan keluar wad.

“Ingin dimaklumkan daripada 69 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 12 kes adalah kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 57 kes,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Jumlah keseluruhan kes pulih membentuk 69.3% daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19, iaitu 4,210 kes pulih daripada 6,071 kes positif.

Ketika ini, 1,758 kes aktif sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 37 kes di unit rawatan rapi dengan 14 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Hisham mengumumkan terdapat 1 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, korban ke-103 wabak koronavirus itu.

Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun dengan latar belakang penyakit barah. Mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes jangkitan ke-4818, mangsa dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 14 Apr dan disahkan meninggal dunia pada 30 Apr 4 petang.

Hisham berkata kes kematian membentuk 1.69% daripada jumlah keseluruhan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.