
Tinjauan mendapati 68.2% responden menerima 3 bantuan, 13.9% menerima 2 bantuan, dan 17.9% menerima 1 bantuan daripada pakej itu.
Antara bentuk bantuan disediakan adalah wang tunai, moratorium, diskaun utiliti, pengeluaran tunai oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan skim saraan swasta, subsidi upah dan bayaran bawah Program Pengekalan Pekerjaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial, serta skim jaminan kredit.
Tinjauan dari 10 hingga 24 Apr itu melibatkan 41,386 responden berusia 15 tahun ke atas dari seluruh negara.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, analisis yang dibentangkan dalam laporan tinjauan yang diedarkan hari ini itu meliputi pandangan individu secara kualitatif mengenai ekonomi, pekerjaan, corak kehidupan, dan pendidikan.
Beliau berkata 70.1% responden berpendapat Prihatin berkesan kerana dapat mengurangkan beban kewangan, manakala 9.1% reponden pula berpendapat ia berkesan sepenuhnya kerana dapat menghilangkan beban kewangan ketika tempoh PKP.
“Sejumlah 90.9% responden menyatakan dalam menghadapi situasi sekarang yang berhadapan dengan pandemik Covid-19, keutamaan diberikan kepada kesihatan dan nyawa, diikuti dengan pendapatan (4.6%) dan kehidupan kembali seperti normal (4.5%).
“Kajian ini juga mendapati 96.1% responden berpuas hati dengan petugas kesihatan (frontliners) dan fasiliti kesihatan yang disediakan kerajaan dalam menangani Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata majoriti (93.7%) berpuas hati dengan pencapaian dan fasiliti yang disediakan dalam menangani Covid-19 berbanding negara lain.
Uzir juga berkata secara keseluruhan, wabak Covid-19 mempengaruhi gaya hidup 96.6% responden, dan 92.9% responden bersedia mengadaptasi cara hidup baru selepas tamat PKP.
“Dari aspek perbelanjaan utama semasa perintah kawalan pergerakan, majoriti responden memilih untuk membeli barangan makanan seperti beras, ikan atau ayam atau daging atau makanan laut untuk dimasak dan barangan keperluan masakan (seperti bawang, gula garam dan lain-lain) dengan masing-masing 92.1%, 91.5% dan 87.7%.
“Manakala bagi barangan bukan makanan pula, pencuci tangan (76.9%), sabun pencuci baju (76.1%) dan topeng muka (74.5%) menjadi pilihan utama responden,” katanya.
Dari aspek pendidikan pula, majoriti (54.5%) menyatakan tahap capaian internet bagi pembelajaran atas talian adalah sederhana.
Susulan kesan Covid-19 , kebanyakan institusi pendidikan mengadakan sesi pembelajaran secara atas talian, dan kajian mendapati secara purata 67.5% responden atau anak mereka melaksanakan sesi pembelajaran dalam talian selama 1 sehingga 5 jam sehari sepanjang PKP.
Katanya, 46.3% responden menyatakan waktu capaian pembelajaran atas talian lebih pantas pada siang hari iaitu antara 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Uzir berkata dapatan daripada tinjauan ini diharap dapat membantu kerajaan dan rakyat menangani kesan Covid-19 terhadap ekonomi dan kehidupan.
Beliau bagaimanapun mengingatkan analisis itu berdasarkan responden yang menyertai tinjauan khas, “dan tidak mewakili pandangan seluruh rakyat”
“Ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan Covid-19 di negara ini dan ia bukanlah statistik rasmi. Namun, ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran tentang situasi semasa,” katanya.
Katanya, PKP dan penularan pandemik Covid-19 memberi kesan perubatan sistem ata cara bekerja bagi kebanyakan individu dan syarikat, sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta.
“Dengan kelonggaran PKP yang diberikan, majoriti masyarakat tidak lagi menjalankan tugas mereka seperti kelaziman sebelum ini dan mereka perlu beradaptasi diri dengan budaya norma baharu dalam kehidupan termasuk pekerjaan dan aktiviti seharian.” katanya.
Laporan penuh survei khas itu boleh diakses melalui portal Jabatan Perangkaan iaitu www.dosm.gov.my dan media sosial rasmi Facebook, Twitter, Instagram @StatsMalaysia.