
PUTRAJAYA: Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan selama 4 minggu sehingga 9 Jun, selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata langkah melawan Covid-19 masih perlu di sebalik pencapaian positif kerana usaha melawan pandemik masih belum berjaya sepenuhnya.
“Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini,” katanya pada perutusan khas hari ini.
Kawalan itu sepatutnya tamat pada 12 Mei ini. Dengan pengumuman ini, semua tatacara operasi standard (SOP) akan berkuatkuasa sehingga tarikh baru itu.
Katanya, sebarang perubahan pada peraturan, SOP, dan senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Aidilfitri
Sementara itu, kerajaan mengekalkan kawalan semasa sambutan Aidilfitri, yang dijangka jatuh pada 24 Mei, mengatakan sekatan perjalanan antara negeri masih tidak dibenarkan.
“Minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua,” katanya.
Bagaimanapun, kelonggaran diberikan untuk ziarah tetapi tertakluk pada syarat tertentu.

Antara syaratnya adalah hanya dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga dalam negeri yang sama, dengan had maksimum 20 orang dalam kediaman terbabit pada satu-satu masa.
“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” katanya.
Setiap ahli keluarga dinasihatkan supaya terus mematuhi amalan kesihatan seperti penjarakkan sosial, topeng dan pensanitasi tangan. Elakkan berada di tempat yang sesak dan tertutup, dan “kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,” tambahnya.
Jamuan besar-besaran atau majlis rumah terbuka masih dianggap tidak perlu. Kawalan sama turut terpakai bagi perayaan lain.
Rumah ibadat
Sementara itu, kerajaan mengumumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memperhalusi tatacara tertentu yang boleh diamalkan oleh jemaah bagi solat berjemaah termasuk solat Jumaat.
Kebenaran untuk bersolat jemaah di masjid akan diumumkan selepas tatacara baru dipersetujui raja-raja, kata perdana menteri.
https://youtu.be/BoYHzFaQdnU
“Dengan pelaksanaan SOP yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan hijau telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah. Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan,” katanya.
Muhyiddin mengumumkan SOP tertentu juga akan diumumkan untuk penganut bukan Islam.
“Kerajaan akan mengumumkan SOP tertentu untuk membolehkan saudara-saudari yang beragama bukan Islam mengerjakan ibadat di rumah ibadat masing-masing,” katanya.
Jangan leka
Perdana menteri turut menasihatkan rakyat jangan leka dengan kelonggaran semasa PKPB, mengingatkan pelaksanaannya masih di peringkat awal.
Muhyiddin berkata beberapa minggu ke depan ini “agak kritikal” bagi negara, dan menambah perintah kawalan pergerakan diperketatkan akan dilaksanakan di kawasan yang menunjukkan peningkatan kes ketara dalam tempoh itu.
“Hasil pelaksanaan PKPB hanya dapat dilihat dalan tempoh beberapa minggu lagi,” katanya.
“Saya nak merayu kepada saudara saudari semua supaya patuhilah SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.”