Tidak banyak boleh bangga walau sebelah kaki Umno dalam kerajaan, kata Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada usia 74 tahun Umno sudah matang dan memahami denyut nadi orang Melayu dan kaum lain.

PETALING JAYA: Penyertaan Umno dalam pentadbiran kerajaan hari ini hanyalah untuk menamatkan pemerintahan “ala politburo” dan mengekang lanjutan era pemerintahan “dinasti”, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dalam perutusan sempena ulang tahun Umno ke-74 hari ini berkata, tidak banyak yang boleh dibanggakan walaupun sebelah kaki parti itu ketika ini berada dalam kerajaan yang mentadbir Putrajaya.

“Ia menamatkan era kegilaan kuasa dan penipuan yang membelenggu rakyat selama 22 bulan. Umno hari ini masih belum ada kuasa penuh untuk cantumkan semua aspirasi rakyat. Masa depannya masih dihampar laluan berliku.

“Perjalanan masih jauh dan cabaran sentiasa mendatang. Oleh itu, semua ahli perlu bertekad untuk bersatu hati demi mengukuhkan parti dan sedia menterjemahkan impian kepada kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zahid berkata, Umno masih belum ada kuasa penuh untuk menunaikan aspirasi rakyat dan masih depan negara masih sukar dan perjalanannya masih jauh.

“Kita tidak megah dengan kuasa, kita bukan gila kuasa, tetapi perjuangkan laluan masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat. Dengan (orang) Melayu sebagai teras pemerintahan dan Islam dijadikan tiang serinya. Keterlanjuran silam boleh dielakkan,” katanya.

Zahid turut meminta agar percaturan politik peribadi dalam kalangan ahli dan pemimpin ditamatkan kerana Umno sudah menyaksikan pelbagai masalah dalam.

Menurutnya, Umno tidak boleh diganggu-gugat sekiranya perpaduan dan kesetiaan dalam kalangan ahli kuat.

“Ini bukan masa untuk duduk bertimpuh dan bertatih lagi. Parti ini memerlukan kesinambungan kepemimpinan yang mampu membawanya mencapai matlamat bangsa dan negara.

“Masa depan parti terletak di bahu semua ahli. Sejauh mana kita mampu menyesuaikannya dengan geo-politik negara, kitalah yang mengaturnya,” katanya.

Zahid berkata, dalam usia 74 tahun, Umno sudah matang dan mengerti denyut nadi bangsa Melayu dan juga bangsa lain di Malaysia, bahkan memahami tuntutan Islam serta kehendak masyarakat Islam.

“Umno bukan lagi eksklusif untuk Melayu, tetapi menyorot perbezaan bangsa dan agama, dari Perlis hingga ke Sabah. Namun, kematangan ini tidak seharusnya disambut dengan kealpaan dan terjerat dalam keselesaan.

“PRU-14 banyak mengajar kita erti perlunya Umno menggarap harapan setiap rakyat pelbagai kaum. Umno mesti diangkat sebagai pegangan ideologi politik rakyat yang dahagakan kelestarian hidup dan masa depan lebih terjamin,” katanya.