Kerajaan PH Selangor kuat walau ‘diganggu’, kata MB

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, wujud ‘usaha’ untuk mengganggu gugat pentadbirannya

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyifatkan sabotaj paling besar kepada usaha pemulihan ekonomi negeri dan negara akibat kesan penularan wabak Covid-19 adalah “ganggu gugat politik”.

Amirudin turut mengakui wujud “usaha” sedemikian dalam pentadbirannya, namun beliau yakin kerajaan Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) masih kuat kerana mempunyai jumlah majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita (Selangor) ada tanggungjawab besar sebagai penyumbang kira-kira 20% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Bayangkan jika negeri ini diganggu gugat politiknya dan hilang fokus, bagaimana kita mahu pulihkan kembali ekonomi?” katanya pada sidang media, di sini semalam.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan PH memiliki 48 kerusi, Barisan Nasional (5), PAS (1) dan Bebas (2).

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas suhu politik di Selangor selepas negara menyaksikan kerajaan PH di Kedah tumbang pada 12 Mei lepas susulan tindakan 2 Adun keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).