
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, keadaan itu menyebabkan situasi politik di Perlis dijangka kekal mencabar yang bermula daripada peralihan pimpinan PAS kepada Bersatu hujung tahun lalu.

“Perang dingin di Perlis dilihat masih belum berakhir walaupun PAS sebelum ini menyatakan penerimaan terhadap kepimpinan baharu.
“Saya jangka Adun PAS akan terus menggunakan sebarang peluang mempersoalkan, malah mungkin mencabar legitimasi kepimpinan Bersatu di negeri itu,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas gesaan enam Adun PAS mahu penjelasan Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berhubung penangguhan persidangan DUN secara mengejut yang didakwa tanpa sebarang alasan munasabah.
Sidang DUN Perlis dijadualkan berlangsung bermula 21 hingga 23 April ini, namun Setiausahanya Mohd Anwar Sahul Hameed dalam surat rasmi mengumumkan penangguhan tanpa tarikh baharu.
Abu Bakar berkata, tarikh baharu sidang DUN akan diumumkan minggu depan sambil menjelaskan perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat pentadbiran sebelum keputusan muktamad.
Sidang DUN itu sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Perikatan Nasional (PN) Perlis Disember lalu yang menyaksikan Adun Sanglang Shukri Ramli daripada PAS meletak jawatan dan diganti Abu Bakar daripada Bersatu.
Shukri memberi alasan kesihatan namun sebelum itu lapan Adun PN termasuk tiga daripada PAS dikatakan menyerahkan akuan berkanun dengan tidak lagi menyokong beliau sebagai menteri besar.
Susulan perkembangan itu, Presiden PAS Hadi Awang mengumumkan keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti.

Penganalisis dari Global Asia Consulting Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berkata, pendirian enam Adun PAS itu menguatkan tanggapan perbezaan antara PAS dan Bersatu dalam PN di Perlis masih belum berakhir.
“Bantahan enam Adun PAS termasuk bekas menteri besar menguatkan ‘perang dingin’ dalam PN masih berlarutan…krisis dalaman belum selesai.
“Ini akan menimbulkan persoalan rakyat,” katanya.