Tarikh baharu sidang DUN diumum minggu depan, kata MB Perlis

Tarikh baharu sidang DUN diumum minggu depan, kata MB Perlis

Abu Bakar Hamzah perkara itu perlu dibincangkan sebelum pengumuman mengenai tarikh baharu dibuat.

Abu Bakar Hamzah
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata tarikh baru persidangan DUN akan diumumkan minggu depan selepas perbincangan dibuat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tarikh baharu sidang DUN Perlis akan dimaklumkan pada minggu depan, kata Menteri Besar Abu Bakar Hamzah, selepas mesyuarat tiga hari dijadual bermula 21 April ditangguhkan tanpa sebarang alasan.

“Tunggu, kita bincang dulu… bila kita dah tentukan tarikh nanti minggu depan kita jawab,” kata Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis kepada FMT.

Mengulas kenyataan Adun Sanglang Shukri Ramli bahawa penangguhan itu sesuatu luar biasa kerana dibuat tanpa sebarang kecemasan, Abu Bakar berkata: “Biar la dia nak kata apa, sampai masa saya jawab.

Dalam surat bertarikh 17 April, Setiausaha DUN Anwar Shahul Hameed memaklumkan pembukaan dan mesyuarat pertama penggal keempat DUN yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 23 April ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

Tiada sebab diberikan bagi penangguhan itu.

Terdahulu hari ini, enam Adun PAS mengadakan sidang media menuntut penjelasan daripada menteri besar mengapa sidang DUN ditangguhkan secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan munasabah.

Shukri yang mewakili wakil rakyat PAS Perlis itu berkata persidangan itu penting kerana terdapat banyak isu tertunggak yang memerlukan jawapan daripada kerajaan negeri.

Sidang itu sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Disember 2025, apabila beberapa Adun Perikatan Nasional menarik sokongan terhadap Shukri yang juga menteri besar dari PAS ketika itu.

Lapan Adun PN termasuk tiga dari PAS dan lima dari Bersatu, dilaporkan telah mengemukakan akuan bersumpah untuk menarik sokongan.

Shukri meletak jawatan pada 25 Dis dengan alasan masalah kesihatan. Abu Bakar kemudiannya dilantik sebagai menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.