Brazil catat 1,179 kematian Covid-19 dalam tempoh 24 jam

Seorang petugas kesihatan mengambil tekanan darah seorang wanita di Unit Rawatan Kecemasan Marechal Hermes di Rio de Janeiro awal bulan ini. (Gambar AP)

RIO DE JANEIRO: Brazil melaporkan 1,179 kematian koronavirus dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Kementerian Kesihatan pada Selasa, selepas pandemik itu mencapai jumlah kematian harian terburuk di negara Amerika Latin yang paling terjejas itu.

Statistik kematian di Brazil kini mencapai 17,971, kata kementerian berkenaan. Ia adalah kali pertama jumlah kematian harian melebihi 1,000.

Jangkitan baru dalam tempoh 24 jam terakhir berjumlah 17,408, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 271,628 kes.

Sekiranya trend menaik disahkan dalam beberapa hari akan datang, Brazil akan menyaksikan peningkatan drastik dalam segmen pandemiknya.

Pakar berkata, tempoh puncak tidak dijangka sehingga awal Jun.

Pakar kesihatan awam juga berkata, statistik jumlah kematian dan jangkitan kerajaan mungkin sangat rendah – mungkin sebanyak 15 kali lebih rendah- Brazil hanya menjalankan ujian koronavirus yang sangat sedikit.

Pada Isnin, kedudukan Brazil melonjak daripada tempat ke-6 ke tempat ke-3 di dunia dalam jumlah jangkitan yang diketahui, hanya di belakang AS dan Rusia.

Presiden sayap kanan Jair Bolsonaro berada dalam konflik terbuka dengan sebagian besar 27 gabenor negara itu ketika beliau memandang remeh virus itu dan mendesak supaya menarik balik sekatan untuk menyelamatkan ekonomi terbesar Amerika Latin, yang kini diramal akan berdepan kemelesetan yang teruk.