GPS berkongsi katil dengan Umno-PAS, tapi mengaku tidak berkahwin, kata Baru

Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.

KUCHING: Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian hari ini mengecam pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menafikan mereka adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan, beliau berkata GPS tidak boleh “berkongsi katil dengan Umno dan PAS” dan tetap menegaskan mereka “belum berkahwin”.

“Ini adalah senario yang sangat terang dan jelas bagi orang Sarawak fahami, bahawa ketika anda menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan sekarang duduk bersamanya dalam Kabinet yang sama yang membentuk kerajaan pintu belakang PN, jelas anda salah satu dan bersatu sebagai kerajaan PN.

“Anda secara rasmi berkahwin dengan semua ahli PN, terutama Umno dan PAS yang sebelum ini anda kutuk. Sekarang anda mendakwa anda belum berkahwin atau tidak berkahwin secara rasmi?”

Beliau mengulas laporan beberapa pemimpin GPS mendakwa mereka bingung apabila ketua parti dalam PN menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Presiden komponen GPS, Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing berkata beliau tidak menyedari adanya perubahan kedudukan pakatan itu dalam kerajaan persekutuan.

Beliau juga berkata parti GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Parti Demokratik Progresif dan PRS, masih belum menjadi ahli rasmi PN.

Namun, Baru bertanya bagaimana pemimpin GPS tidak menyedari apa yang mereka tandatangani.

“Kerajaan GPS baru saja menandatangani perjanjian dengan Petronas – adakah mereka tahu apa yang mereka tandatangani ketika itu, atau mungkinkah beberapa pemimpin GPS yang bingung itu tidak menyedari kerana seseorang antara mereka menandatangani MoU tanpa persetujuan mereka yang bingung?”

Beliau juga mendakwa wujud pengagihan kuasa yang tidak sama dalam GPS, mengatakan mereka yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri sebahagian besar berasal dari PBB.

“Sudah tiba masanya parti komponen GPS yang ‘lebih lemah’ menilai kembali secara serius jika mereka harus meneruskan ‘pakatan tidak setara’ ini dengan PBB.”