Penjara lancar iMesej bolehkan banduan terima ucapan, gambar Hari Raya

Banduan mematuhi peraturan penjarakan sosial di sebuah kemudahan di Labuan. Lawatan fizikal ke penjara sempena Hari Raya dilarang tahun ini kecuali membabitkan kes khas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jabatan Penjara melancarkan program yang membolehkan ahli keluarga banduan menghantar teks pesanan dan ucapan Hari Raya bagi menggantikan lawatan ke penjara berikutan sekatan pergerakan yang dilanjutkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Rohaida Mohamad, jurucakap jabatan itu, memberitahu FMT bahawa perkhidmatan iMesej dilancarkan semalam dan akan diteruskan sehingga 24 Jun di penjara terpilih di seluruh negara.

Beliau berkata maklumat mengenai program itu disediakan di laman web jabatan berkenaan, selain menambah ahli keluarga boleh menghubungi pihak berkuasa penjara untuk maklumat lanjut.

Lawatan ke penjara tidak dibenarkan sejak Covid-19 tercetus, dengan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac untuk mengekang penularan jangkitan.

Rohaida berkata lawatan ahli keluarga ketika sambutan Hari Raya termasuk Hari Gawai dan Kaamatan di Sarawak dan Sabah tidak dibenarkan kecuali untuk kes khas.

“Bagaimanapun, mereka dibenarkan untuk menghantar duit kepada orang tersayang menurut kaedah yang diputuskan oleh Jabatan Penjara,” tambahnya.

Peguam jenayah Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, jumlah wang yang dikirimkan, biasanya antara RM50 hingga RM100, akan ditukar menjadi kupon untuk dibelanjakan oleh banduan untuk membeli makanan dan keperluan lain di kantin dan kios makanan.

Beliau berkata perkhidmatan iMesej adalah inisiatif baru jabatan berkenaan selepas krisis koronavirus tercetus.

Pada masa lepas katanya, ahli keluarga dibenarkan mengunjungi banduan selama 45 minit hingga 1 jam ketika perayaan seperti Hari Raya.