Penggunting rambut resah sambut Aidilfitri tanpa pendapatan

Mohamad Nor Hazwan Zaini, pengusaha dan pemilik Masta Barbershop beroperasi di Jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Ketika peniaga di pasar raya menarik nafas lega dengan keputusan Putrajaya membenarkan sesetengah sektor perniagaan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), namun perkara sama tidak berlaku pada pengusaha perkhidmatan gunting rambut.

Lebih meresahkan, apabila ketibaan Ramadan dan Syawal tahun ini suram. Ia saban tahun menjadi detik ditunggu-tunggu semua pengusaha kedai dan tukang gunting rambut mencari pendapatan tambahan, memandangkan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan itu menjelang Aidilfitri.

Perkara berkenaan dikongsikan Mohamad Nor Hazwan Zaini, 32, pengusaha kedai gunting rambut Masta Barbershop di Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur, yang tidak beroperasi sejak 18 Mac lalu, selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa 1 dilaksanakan.

“Buat masa ini, boleh dikatakan saya dalam fasa sesak. Agak terbeban sejak PKP dilaksanakan sebab kita menyewa dan terpaksa bayar penuh sewa kedai pada April. Kita ada minta untuk berunding dengan pemilik kedai tetapi belum diputuskan,” katanya kepada FMT.

Khairudin Mat Kamarul Yatim, seorang penggunting rambut di Masta Barbershop yang hilang pendapatan berikutan PKP dan PKPB.

Menurut Hazwan, jika sebelum ini Masta Barbershop menerima antara 20 hingga 30 pelanggan sehari, dan bertambah sesak ketika musim perayaan, tetapi kini hanya daun kering yang bersepah di depan pintu masuk kedai.

“Kita mula beroperasi pada 2017, setiap hari memang akan ada permintaan daripada pelanggan yang memerlukan khidmat gunting rambut.

“Setiap kali tiba musim perayaan, ia antara perniagaan yang paling menguntungkan, dalam sehari kita menerima tidak kurang antara 20 hingga 30 pelanggan.”

Khairudin menyusun gel rambut yang dijual di Masta Barbershop.

Hazwan berkata, limpahan rezeki sebelum ini turut dikongsi bersama 3 pekerjanya, yang “berkarya” tanpa henti bagi memastikan rambut setiap pelanggan yang menjengah kemas dan memenuhi kehendak mereka bagi menyambut Aidilfitri.

“Dulu memang seronok, seminggu sebelum raya saya akan beri bonus kepada pekerja, ia sebagai penghargaan kerana kita tahu mereka penat bekerja. Saya sebagai pengusaha cuba bertolak ansur dengan pekerja, memandangkan mereka bawa rezeki untuk perniagaan saya,” katanya.

Tetapi, situasi dan keadaan pada tahun ini nyata berbeza apabila operasi perniagaannya masih tidak dibenarkan beroperasi oleh Putrajaya, malah setiap hari berada dalam keadaan tanda tanya, sampai bilakah pintu kedainya akan terus ditutup.

Khairudin menyusun peralatan menggunting rambut yang sudah lama tidak digunakan.

Hazwan memberi galakan serta menyokong pekerjanya mencari rezeki alternatif bagi menampung kehidupan seharian di ibu kota memandangkan perkhidmatan itu masih belum dibenarkan beroperasi.

“Saya sarankan ‘barber’ yang ada lesen motosikal bekerja sebagai penghantar makanan buat sementara waktu atau lakukan apa-apa sahaja pekerjaan untuk menjana sumber kewangan. Saya memang tidak mengikat mereka mencari rezeki ketika ini.

“Saya juga tidak mahu ‘barber’ ini berhenti. Kita sudah tahu kemahiran menggunting rambut yang dimiliki mereka. Bahkan, ada antara pelanggan memang sukakan potongan rambut dihasilkan pekerja saya dan susah untuk cari pengganti,” katanya.

Tambahnya, beliau bersedia dan berbesar hati untuk meminjamkan sementara alatan menggunting rambut yang jumlah keseluruhan mencecah RM2,000 kepada para pekerjanya untuk digunakan bagi mencari rezeki tambahan.

“Biarlah ‘barber’ ini cari rezeki masing-masing, saya berikan kebebasan. Mereka boleh ambil gunting dan barangan. Cuma itu saja cara saya boleh bantu mereka pada ketika ini. Saya nasihatkan jangan ambil pelanggan yang tidak dikenali.

Khairudin membersihkan sampah selepas sebulan kedai ditutup.

“Setiap hari ketika tempoh PKP dan PKPB, sekurang-kurang 3 hingga 4 pelanggan yang mencari saya untuk mendapatkan khidmat tukang gunting rambut. Jadi, saya berikan pilihan kepada ‘barber’ sama ada mereka terima panggilan ke rumah atau sebaliknya,” katanya.

Hazwan faham dan akur dengan keputusan kerajaan tidak membenarkan kedai gunting rambut seluruh negara beroperasi.

Baginya, penjarakkan sosial tidak dapat diamalkan sekiranya perniagaan itu dibenarkan beroperasi.

“Kita tahu tugas penggunting rambut ini mempunyai hubungan secara terus dengan pelanggan dan memang tidak ada penjarakkan sosial. Memang boleh gunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE), cuma kalau ada 10 pelanggan, apakah penjarakkan sosial masih boleh dilaksanakan? Saya rasa sukar,” katanya.

Sementara itu, Khairudin Mat Kamarul Yatim, 22, berkata tidak dinafikan sejak 18 Mac lalu beliau hilang sumber pendapatan utama, memandangkan sudah berkhidmat sebagai penggunting rambut sejak 2 tahun lalu.

“Susah hendak cari kerja ketika PKP, jadi dapat kerja di Masta Barbershop sudah cukup bagus. Kalau nak kata terkesan, memang terkesan, rumah perlu dibayar, begitu juga kereta dan motosikal. Saya pula duduk sendirian selepas merantau ke Kuala Lumpur.

“Jadi, sepanjang tempoh PKP dan PKPB, memang perit. Macam-macam kerja yang saya lakukan, termasuk ‘house call barber’. Memang tidak ada pilihan, mana yang boleh jana pendapatan harian dan dapat tampung duit minyak, saya akan lakukan,” katanya.

Mohamad Nor Hazwan Zaini dan Khairudin Mat Kamarul Yatim berbincang dan menyusun strategi yang perlu dilakukan selepas kerajaan membenarkan kedai gunting rambut kembali beroperasi.

Menurut Khairudin, pendapatan yang diterima daripada majikan sebagai penggunting rambut adalah komisyen RM10 daripada setiap pelanggan.

“Jika kedai gunting rambut diarah untuk tutup, dari mana saya hendak dapatkan komisyen?” katanya.

Khairudin turut memberanikan diri mengambil upah membaiki telefon bimbit. Ia kemahiran yang dipelajarinya sendiri sejak sekian lama, namun tidak mempromosikannya sebelum ini.

“Bila berlaku keadaan macam ini, mana ada kedai telefon yang buka ketika PKP. Jadi, mana yang saya mampu untuk baik pulih, saya akan berikan servis. Semuanya saya belajar secara sendiri, pada mulanya ia untuk baik pulih telefon sendiri saja,” katanya.

Anak sulung daripada 3 beradik itu berkata, beliau terpaksa mencekalkan hati untuk terus meneruskan kehidupan dan meraikan Aidifitri sendirian di ibu kota, memandangkan Putrajaya tidak membenarkan sebarang pergerakan merentas negeri.

“Keluarga biasalah, mereka minta saya kuatkan semangat sebab tak boleh nak balik rumah di Negeri Sembilan. Jadi saya perlu terus berada di Kuala Lumpur dan meraikan Aidilfitri seorang diri,” katanya.