Polis nafi ada majlis perkahwinan di kuil Seri Kembangan

Polis nafi ada majlis perkahwinan di kuil Seri Kembangan

Siasatan mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di sebuah kuil di Seri Kembangan.

KUALA LUMPUR:
Polis menafikan dakwaan mengatakan majlis perkahwinan diadakan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Selangor hari ini.

Ketua Polis Serdang, Ismadi Borhan berkata berdasarkan soal siasat terhadap penjaga kuil, tiada sebarang aktiviti atau majlis diadakan di kuil itu dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Beliau turut menyatakan majlis dalam rakaman video yang tular itu tidak berlangsung pada hari ini.

“Tinjauan dan siasatan anggota polis daripada Balai Polis Seri Kembangan juga mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di kuil tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk rakaman video berdurasi 1 minit memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan.

Ismadi berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan polis sentiasa memantau aktiviti di rumah ibadat bagi mencegah penularan Covid-19.

Hari ini, sebuah portal berita melaporkan sebuah kuil di Seri Kembangan dipercayai mengadakan majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 100 individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.