Rakaman suara dakwa Muhyiddin cuba tarik pemimpin Umno sertai PPBM didedah

Dalam satu rakaman suara tular Muhyiddin didakwa memberi galakan kepada pemimpin PPBM supaya menyakinkan ahli Parlimen Umno melompat parti.

PETALING JAYA: Dalam satu rakaman suara yang tular hari ini, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin didakwa berbincang untuk menarik pemimpin Umno menyertai partinya dengan menawarkan beberapa jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam rakaman suara yang dikatakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Februari, Muhyiddin didakwa “memberi galakan” kepada pemimpin PPBM untuk menyakinkan ahli Parlimen Umno supaya melompat parti.

“Saya katakan ada 30 lebih yang Umno sekarang ini. Boleh tak kita jumpa dan cakap dengan mereka, ‘kami akan membentuk kerajaan, jadi kenapa tidak anda datang dan sertai PPBM’.

“Kalau PPBM sudah 30 (kerusi Parlimen), campur 10 daripada Umno sudah 40. Kita adalah parti yang terbesar. Kalau kita ambil sorang-sorang, mungkin ada di antara mereka, terutama kalau mereka ada tawar tawaran tertentu. Jadi kenapa tidak,” katanya dalam rakaman suara yang didedahkan itu.

Beberapa nama pemimpin parti berkenaan dikatakan turut disebut oleh Muhyiddin dalam perbualan itu, antaranya dengan setiausaha agung PPBM Hamzah Zainudin; Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan ahli Majlis Tertinggi Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mesyuarat itu didakwa berlangsung sebelum berlakunya “langkah Sheraton” yang menyaksikan ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak yang sebelum ini bertelagah berhimpun di hotel berkenaan pada 23 Februari, disusuli dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Keesokan harinya, PPBM memutuskan untuk keluar PH selepas Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri sehingga menimbulkan krisis kepimpinan negara.

Ia kemudiannya berjaya diatasi setelah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri pada 29 Februari.

FMT bagaimanapun tidak dapat mengesahkan rakaman suara berkenaan adalah milik Muhyiddin.