
PUTRAJAYA: Penularan Covid-19 dalam Kluster Pangsapuri Cheras yang diumumkan semalam besar kemungkinan berkaitan dengan aktiviti kunjung mengunjung sebelum dan semasa Aidilfitri.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan.
Dalam laporan hariannya pada sidang media hari ini, Hisham melaporkan kes pertama kluster itu dikenalpasti daripada saringan pelajar pusat tahfiz.
Siasatan mendapati tiada pelajar, guru, atau kakitangan dari pusat tahfiz tersebut mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.
“Sehingga kini, terdapat 6 kes dalam kluster ini iaitu 3 kes yang merupakan penghuni pangsapuri tersebut, dan 3 kes lain di luar kawasan pangsapuri,” katanya.
Menurut Hisham, kes positif itu merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.
Setakat ini seramai 120 orang dikenalpasti dan disaring dalam siasatan kontak rapat bagi 6 kes itu.
“76 kes negatif dan 38 masih menunggu keputusan,” katanya.
Hisham melaporkan pihak berkuasa mengambil beberapa langkah kawalan penularan termasuk pengasingan kontak, nyahjangkit dan nyahcemar, dan hebahan pendidikan kesihatan.
Semasa menjawab pertanyaan pemberita, Hisham berkata tiada kes positif dikesan di pangsapuri lain berdekatan pangsapuri di Cheras itu.