Perlu ada pelan ekonomi jangka sederhana, panjang, selepas Penjana, kata pakar

Pakar ekonomi berkata, pelan ekonomi jangka sederhana dan panjang membantu merangsang keyakinan perniagaan dan pengguna.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menggesa Putrajaya supaya mendedahkan pelan ekonomi jangka sederhana dan panjang untuk tempoh selepas Covid-19 bagi melengkapkan pelan pemulihan Penjana bernilai RM35 bilion.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, beliau melihat “Penjana” lebih merupakan pelan sara hidup bagi membantu pekerja dan perniagaan.

“Ada suntikan fiskal RM10 bilion, tetapi sebahagian besarnya disalurkan kepada program subsidi gaji kerajaan,” katanya.

Barjoyai berkata, tiada jaminan ekonomi dan perniagaan kembali normal dan ini bermakna pakej subsidi gaji lain mungkin diperlukan selepas ini.

“Ia bukan sesuatu yang tidak baik. Sebaliknya menghindari pengangguran sangat mustahak, terutama bagi pelan pemulihan jangka pendek. Tetapi inisiatif jangka sederhana dan panjang juga diperlukan.”

Ini katanya akan membolehkan para penganalisis, perniagaan, pelabur, pekerja dan orang awam melihat gambaran besar pemulihan ekonomi.

“Apakah langkah pemulihan teras yang akan diambil oleh kerajaan? Apakah rancangan jangka panjangnya?

“Saya fikir kerajaan berjaya mengawal krisis yang dihadapi dan membantu semua pihak supaya terus bernafas, tetapi kita juga perlu tahu apakah rancangan kerajaan selepas ini.”

Barjoyai Bardai

Barjoyai berkata, pelan ekonomi jangka sederhana dan panjang akan membantu merangsang keyakinan serta sentimen perniagaan dan pengguna, yang kemudiannya akan menyokong pemulihan ekonomi.

Katanya, beliau mahu melihat pelan kerajaan untuk membantu PKS dan industri tradisional dan rendah nilai bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi.

Beliau berkata, walaupun insentif cukai kepada pengeluar seperti industri automotif dan pelaburan asing baru merupakan sesuatu yang baik, namun ia akan mengambil masa dalam membuahkan hasil kerana kedua-dua pengguna dan perniagaan kini bersikap berhati-hati susulan ketidaktentuan yang wujud di peringkat global dan tempatan.

Pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia Shaun Edward Cheah menyifatkan Penjana sebagai pelan yang mengutamakan rakyat, antara lain, susulan pengenalan langkah melanjutkan subsidi gaji, geran PKS dan menambah pendapatan boleh guna.

“Yang tidak ada ialah ekosistem atau persekitaran pelaburan terbuka untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia.

“Langkah terbaik untuk menarik pelaburan asing dalam jangka pendek ialah liberalisasi ekonomi, dasar berdasarkan fakta yang stabil, bukannya dasar spontan yang kerap berubah seperti membekukan lesen baru arak yang bakal menghakis keyakinan dalam pemulihan dorongan industri pelancongan.”

Cheah berkata, kerajaan harus memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan persekitaran mesra pelaburan asing yang akan merangsang keyakinan pelaburan domestik.

“Rakyat dan perniagaan tidak memerlukan bantuan tunai atau pinjaman khayalan. Mereka perlukan persekitaran ekonomi untuk pulih dan maju. Itulah namanya kemampanan,” katanya.

Dalam pada itu, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik tumpuan kerajaan untuk menyelamatkan pekerjaan, terutama melalui insentif pengambilan pekerja, peluasan program subsidi gaji, program latihan dan bantuan kepada perniagaan dalam melaksanakan inovasi dan pendigitalan.

“FMM bagaimanapun berharap program subsidi gaji diperluaskan kepada semua pekerja tanpa mengira tahap gaji, selain penghapusan had 200 pekerja untuk sesebuah syarikat, kata presidennya Soh Thian Lai.

Beliau berkata, rebat cukai kepada PKS yang baru diwujudkan adalah langkah yang baik, tetapi pada masa sama berharap ia diperluaskan kepada PKS sedia ada.

Soh berkata, kadar cukai 0% dan pelepasan cukai pelaburan yang diperkenalkan bagi menggalakkan pelaburan baru berpindah ke negara ini juga harus diperluaskan kepada projek yang diluluskan sejak 2019, tetapi belum dimulakan akibat penularan wabak Covid-19.

“Ia telah ‘ada’ dan mesti dikekalkan kerana banyak usaha telah dilakukan bagi mendapatkan pelaburan tersebut,” katanya.

Soh juga menggesa Putrajaya supaya terus menyokong ekonomi dengan mempercepatkan projek infrastruktur dan pembangunan, selain meningkatkan penggunaan domestik.

“Kami menggesa kerajaan supaya memberi tumpuan kepada syarikat bersaiz sederhana dan memperkenalkan inisiatif untuk membantu mereka susulan kemampuan dan kapasitinya, selain ia mewakili sebahagian besar daripada jumlah pekerjaan di negara ini,” katanya.