Peruntukan Penjana RM35 bilion perlu dibahas di Parlimen, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, peruntukan RM35 bilion di bawah Penjana adalah seumpama belanjawan kerajaan dan perlu dibahaskan di parlimen.

PETALING JAYA: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion bagi menangani impak wabak Covid-19 yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sewajarnya dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan sebelum diluluskan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, peruntukan sebanyak RM35 bilion itu seolah-olah merupakan belanjawan dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, setiap belanjawan yang diperuntukkan perlu dibentangkan di Parlimen.

“Ini seolah-olah satu belanjawan. Negara yang mengamalkan prinsip demokrasi yang mana belanjawan perlu dibentangkan. Dengan belanja puluhan bilion ringgit, namun ia tidak dibahaskan di Parlimen.

“Jika kita ada sikap tawaduk, kita akan tahu semua hal mesti dibahaskan.

“Jika tidak, apa yang diumumkan itu, rakyat akan kata, ‘bantuan pekerja bagus’, tetapi tidak ada orang yang boleh persoalkan. Minta diperincikan, tambah atau dikurangi. Lebih penting adalah melihat kepada peringkat dan tahap pelaksanaan,” katanya dalam siaran langsung di Facebook malam ini.

Kerajaan memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan tema Bersama Menjana Ekonomi bagi menangani impak wabak Covid-19 Jumaat lepas.

Perdana menteri berkata, di bawah Penjana, kerajaan mengenal pasti tiga teras utama, iaitu memperkasakan rakyat , melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Secara keseluruhan terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah Penjana. Daripada jumlah itu, RM10 bilion adalah suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Anwar berkata, sehingga kini rakyat juga tidak mengetahui dari sumber manakah negara dapat wang sebanyak RM35 bilion untuk mengeluarkan peruntukan tersebut, walaupun rakyat umumnya dinasihatkan supaya tidak bimbang dengan keupayaan Putrajaya untuk berbelanja.

“Dari mana sumber kita dapat? Betul kita harus berbelanja, tetapi apakah kita berbelanja ikut peraturan dan kaedah sah? Jangan ada kebocoran, ketirisan, rompakan di tengah jalan. Apakah ia juga sampai kepada kumpulan sasaran?

“Inilah soal-soal yang perlu dibahaskan di Parlimen atau dibuka kepada perbincangan secara lebih meluas,” katanya.