SPR bersedia hadapi pilihan raya dengan langkah kawal pandemik

Azhar Harun berkata pilihan raya kecil Chini akan menjadi panduan mengenai mengadakan pilihan raya semasa pandemik.

PUTRAJAYA: Ketidakpastuan politik mutakhir ini mendorong Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya kilat, walaupun ini bermakna ia perlu mereka semula proses pilihan raya untuk disesuaikan dengan langkah melawan pandemik Covid-19.

“Kami berwaspada dan keadaannya mencabar tapi kami bersedia,” kata Pengerusi Azhar Harun ketika ditemubual FMT.

Menurut undang-undang, SPR diberi tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya sebaik sahaja ia dimaklumkan tentang pembubaran Parlimen.

Khabar angin mengenai pilihan raya kilat bertiup kencang ketika Perikatan Nasional (PN) terus memegang kuasa dengan majoriti kecil, di sebalik dakwaan Pakatan Harapan bahawa ia mempunyai sokongan yang cukup untuk kembali berkuasa.

Azhar, yang mempengerusikan SPR ketika ia mengadakan 7 pilihan raya kecil Parlimen dan negeri atas pelbagai sebab, berkata pilihan raya kecil Chini pada 4 Julai ini akan menjadi panduan mengenai mengadakan pilihan raya semasa langkah melawan Covid-19 berkuatkuasa.

Langkah ini termasuk langkah biasa di tempat awam seperti penjarakkan sosial, penggunaan topeng, dan pensanitasi, serta pemeriksaan suhu badan.

Azhar berkata SPR dalam proses untuk menyediakan inisiatif lain bagi memastikan keselamatan pengundi dan petugas pilihan raya.

“Sekiranya anda batuk atau mengalami suhu badan yang tinggi, anda pergi ke khemas khas dan kakitangan di sana yang memakai kelengkapan pelindung diri akan membantu anda,” katanya.

Beliau berkata khemah khas itu akan didirikan di 13 pusat mengundi di Chini.

Azhar berkata SPR sedang mempertimbangkan slot masa untuk mengatur pengundi, bagi memastikan tiada kesesakan semasa hari mengundi.

Beliau berkata sasaran SPR adalah mengehadkan bilangan pengundi kepada 400 orang setiap saluran.

“Jadi pengundi digalakkan untuk datang mengundi pada masa tertentu. Kami hanya boleh mengalakkan dan tidak boleh paksa, kerana pengundi berhak untuk datang bila-bila masa antara 8 pagi dan 5.30 petang,” katanya.

Azhar berkata syarat kesihatan baru itu bermakna parti politik dan calon mesti fikirkan cara baru untuk berkempen.

Beliau percaya media sosial boleh jadi alat kempen yang berkesan.

Azhar bagaimanapun setuju terdapat kebimbangan parti pemerintah akan dapat liputan lebih meluas di media rasmi tanpa kaedah kempen biasa.

“Kebimbangan saya adalah kerajaan dapat liputan berlebihan, jadi saya merayu kementerian yang berkenaan supaya memberikan liputan kepada pembangkang kerana saya percaya perlu ada lapangan sama rata,” kata Azhar, yang dilantik sebagai pengerusi SPR pada Sept 2018.